Kekayaan Ratcliffe susut selepas ambil alih Manchester United

JUTAWAN di sebalik pengambilalihan sebahagian Manchester United, Sir Jim Ratcliffe, dilaporkan mengalami kemerosotan kekayaan mencecah 6.473 bilion pound (kira-kira RM38 bilion) dalam tempoh setahun.
Berdasarkan senarai terkini media tempatan, lebih suku daripada kekayaannya lesap, menyaksikan beliau jatuh dari tangga keempat ke tangga ketujuh dalam senarai individu terkaya di United Kingdom.
Penurunan kekayaan pemilik Ineos Group ini berlaku ketika beliau mengambil alih 27.7 peratus kepentingan dalam Manchester United pada Februari 2024, satu perjanjian bernilai sekitar 1.25 bilion pound yang memberikan Ineos kuasa ke atas operasi kelab bola sepak berpengaruh dunia berkenaan.
Namun, kehadiran Ratcliffe di Old Trafford tidak sunyi daripada kontroversi bermula dengan kenaikan harga tiket dan dua pusingan pemberhentian pekerja dalam usaha memantapkan kewangan Manchester United yang mengundang kritikan pedas.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama media United Kingdom pada Mac lalu, Ratcliffe mempertahankan langkah-langkah penjimatan yang tidak popular itu, dengan alasan kelab akan kehabisan wang tunai menjelang akhir tahun ini sekiranya beliau tidak mengambil tindakan drastik.
Walaupun begitu, pada Mac lalu, United mendedahkan rancangan mega untuk membina stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk berdekatan Old Trafford, dengan anggaran kos 2 bilion pound.
Pada masa sama, Ratcliffe menegaskan tekanan kewangan yang dihadapi firma petrokimia Ineos tidak akan menjejaskan Manchester United.
Bagaimanapun, Ineos dilihat menarik diri awal daripada perjanjian penajaan dengan New Zealand Rugby pada Februari, dan turut berpisah dengan juara Olimpik empat kali, Ben Ainslie, selepas menaja pasukan pelayaran Britannia America's Cup sejak 2018.
Syarikat itu menyalahkan langkah-langkah penjimatan kos di seluruh perniagaannya, memetik kemerosotan industri kimia di Eropah akibat cukai tenaga yang tinggi dan cukai karbon yang melampau serta 'deindustrialisasi Eropah'.
Ketika ditanya mengenai isu kewangan Ineos, Ratcliffe memberitahu pada Mac: "Ineos berada dalam kedudukan yang baik hari ini tetapi tidak sebaik tiga atau empat tahun lalu.
"Eropah telah menjadi tempat yang sangat sukar untuk menjalankan perniagaan bagi syarikat-syarikat industri kerana harga tenaga di Eropah kini lima kali ganda berbanding Amerika, di mana kebanyakan pesaing kami berada."
Dengan menduduki tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris dan hanya berbaki dua perlawanan, harapan United untuk meraih trofi dan beraksi di Eropah musim depan kini terletak pada pertembungan dengan Tottenham Hotspur di final Liga Europa pada Khamis ini.
Pemenang perlawanan di Stadium San Mames, venue kelab LaLiga Sepanyol tersebut akan mengesahkan tempat di Liga Juara-Juara.
Di sebalik kemerosotan kekayaan Ratcliffe, atlet-atlet ternama seperti Rory McIlroy, Anthony Joshua, Sir Andy Murray, dan Harry Kane dilaporkan mengalami peningkatan kekayaan.
Pemain golf McIlroy menduduki tangga teratas dalam senarai 40 individu terkaya di bawah usia 40 tahun, dengan kekayaan peribadinya meningkat daripada 225 juta pound kepada 260 juta pound selepas menjuarai Masters bulan lalu.
Peninju Joshua berada di tangga ke-24 dengan kekayaan 195 juta pound, walaupun tidak beraksi sejak kekalahannya kepada Daniel Dubois pada September lalu. Murray pula berada di tangga ke-35 dengan 110 juta pound selepas bersara daripada tenis pada Ogos.
Kapten bola sepak England, Kane, yang meraih trofi utama pertama dalam kariernya apabila Bayern Munich menjuarai Bundesliga awal bulan ini, berada di kedudukan ke-38 bersama dengan peningkatan kekayaan sebanyak 25 juta pound kepada 100 juta pound.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!