Sabah FC utamakan pemain tempatan Liga Super 2025-2026


SABAH FC mahu mengetengahkan lebih ramai pemain tempatan bagi mengisi slot dalam kesebelasan utama pada saingan Liga Super 2025-2026, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya.
Katanya, pada tahun ini juga pihak pengurusan dan kejurulatihan skuad Badak itu mengambil keputusan untuk mengambil lebih ramai pemain yang berasal dari Sabah.
"Apa kelainan pada musim ini adalah kita akan cuba mengetengahkan lebih ramai muka baharu ataupun pemain tempatan yang berasal dari Sabah bermain dalam kesebelasan utama Sabah.
"Soal berapa peratus pemain tempatan dan pemain luar yang berada dalam pasukan Sabah akan dimuktamadkan kemudian oleh pihak pengurusan serta kejurulatihan. Apa yang pasti misi utama atau tema kita pada tahun ini adalah ketengahkan pemain berasal dari Sabah," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik antara Sabah FC dan RedOne Network Sdn Bhd, yang ditandatangani Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid dan Ketua Pegawai Eksekutif RedOne Network Sdn Bhd Ameen Amaendran.
Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah III berkata pada musim ini Sabah masih menggunakan khidmat Ketua Jurulatih Martin Stano.
"Harapan saya selaku Presiden SAFA agar pasukan Sabah FC masih akan dapat mempamerkan prestasi yang kompetitif pada musim ini," tambahnya.
Terdahulu pada majlis itu, Sabah FC menerima tajaan bernilai RM500,000 daripada RedOne Network Sdn Bhd untuk tempoh dua tahun.
Shahelmey berkata ia merupakan satu kerjasama yang baik dan sudah semestinya akan menguntungkan kedua-dua pihak sekali gus membawa satu pendekatan digital bagi Sabah FC.
"Saya berharap pada Liga Super 2025-2026 ini banyak lagi syarikat yang akan mengadakan jalinan kerjasama dengan Sabah FC bagi memastikan skuad Badak dapat memenuhi keperluan kewangan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!