AFL sedia terima pasukan Liga Super ke Liga A1

Victor turut menekankan bahawa pasukannya telah banyak melalui dugaan sepanjang musim ini. FOTO KDA FC
Victor turut menekankan bahawa pasukannya telah banyak melalui dugaan sepanjang musim ini. FOTO KDA FC
A
A
A

LIGA Bolasepak Amatur (AFL) bersedia untuk mempertimbangkan kemasukan pasukan Liga Super seperti Sri Pahang FC, Kedah Darul Aman FC, Perak FC dan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) ke saingan Liga A1 musim depan sekiranya mereka gagal memperoleh Lesen Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AFL, Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad berkata, pihaknya tidak menutup pintu kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk menyertai liga kedua itu, namun menegaskan keputusan akhir tetap terletak di tangan kelab terbabit.

“Jika ada permohonan, kami sedia berbincang dengan syarat-syarat yang akan diberikan kepada mereka. Itu semua terserah kepada pasukan tersebut.

“Setakat ini, tak ada lagi (permohonan). Mungkin mereka nak tunggu hingga keputusan FIB (First Instance Body) mengenai pelesenan keluar dahulu,” katanya.

Empat kelab terbabit sebelum ini dilaporkan berdepan isu tunggakan gaji dan hutang yang serius sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai penyertaan mereka dalam Liga Super musim depan.

Perak FC antara pasukan yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada saingan Liga Super, manakala Kedah, Sri Pahang dan KDN FC masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status masing-masing.

Untuk rekod, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah melanjutkan proses permohonan Lesen Kebangsaan sehingga Sabtu ini sebelum membuat keputusan sama ada pasukan-pasukan terbabit layak atau tidak untuk bertanding di Liga Super.

Mengulas lanjut, Raimi menegaskan bukan sesuatu yang luar biasa sekiranya kelab Liga Super yang gagal memperoleh lesen kebangsaan memilih untuk beraksi di Liga A1.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan, perkara ini biasa sahaja dan kami sering menerima permohonan tahun-tahun sebelum ini.

"Contohnya dua tahun lepas, Sarawak United ada memohon untuk bermain di Liga A1 selepas tidak menerima Lesen Kebangsaan,” katanya.

Musim lalu, Kelantan FC (The Red Warriors) juga pernah membuat permohonan yang diluluskan AFL, namun pasukan itu menarik diri pada saat akhir selepas tidak dapat mendaftarkan pemain baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!