Sekolah jadi rumah kedua sejak kecil

SHAH ALAM - Jika dahulu guru hanya berbekalkan kapur dan buku teks untuk mengajar, namun realiti pada zaman yang semakin kompleks kini menuntut mereka menguasai pelbagai kemahiran bagi bergelar seorang pendidik.
Dengan latar belakang keluarga yang terdiri daripada enam guru dalam kalangan ahli keluarga termasuk ibu bapa dan ibu saudara, Nur Fhatin Fhatihah Samsuddin, 29, membesar dalam persekitaran sekolah yang dianggap sebagai ‘rumah kedua’.

Menurut guru bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Kebun itu, menjadi pendidik bukan sekadar pilihan kerjaya sejak enam tahun lalu tetapi perjalanan hidup bermula jauh lebih awal daripada hari pertamanya sebagai seorang guru.
Beliau berkata, ibunya, Sabariah Baki, 57, sering membawanya bersama bagi mengikuti program di sekolah sejak kecil lagi.
“Sejak kecil lagi saya sudah diperkenalkan dengan belakang tadbir bagi dunia pendidikan, berbeza dengan kanak-kanak lain yang hanya melihat guru mengajar di dalam kelas tetapi saya melihat bagaimana kerjaya seorang pendidik.
“Saya membesar dalam sekolah, bukan sebagai murid sahaja tetapi anak cikgu yang selalu dibawa ke mesyuarat, pertandingan dan program sekolah, malah saya juga melihat sendiri proses dari mula program seperti menyediakan kertas kerja sehingga ke akhir iaitu pertandingan,” katanya.
Nur Fhatin Fhatihah berkata, minat yang mendalam terhadap bahasa menjadi faktor utama selain motivasi diberikan ibu dan bapanya, Samsuddin Samion, 60, untuk bergelar pendidik.
“Bagi saya, minat sahaja tidak cukup tetapi pengalaman menyaksikan sendiri penat lelah ibu bapa menjadi penguat semangat untuk saya teruskan dalam bidang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
