Budak empat tahun maut terbakar di rumah dipercayai bermain pemetik api

MELAKA - Kebakaran sebuah unit di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, di sini, pada Jumaat yang mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak berusia empat tahun disyaki berpunca daripada pemetik api.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata, siasatan awal mendapati, ibu mangsa memaklumkan kebakaran tercetus selepas mangsa dikatakan bermain pemetik api.
"Namun, dari segi pihak bomba, kami masih menjalankan siasatan, selain mendapatkan khidmat K9 untuk menjalankan siasatan menyeluruh.
"Peratusan kebakaran ini melibatkan sebuah bilik dengan anggaran 30 peratus daripada keseluruhan struktur rumah, " katanya ditemui lokasi kejadian.
Dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, berlaku kebakaran sebuah kediaman di tingkat enam dihuni keluarga berkenaan.
Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng dan Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi kejadian.

Mohd Sharom berkata, mayat mangsa ditemukan berada di sebuah bilik tidak berkunci dalam keadaan terbaring dengan terdapat kesan lecuran pada anggota badan.
"Ketika kejadian ibu mangsa berada di rumah dan baru pulang mengambil salah seorang anak dari sekolah.
"Mangsa merupakan anak keempat daripada lima beradik. Kesemua adik-beradik lain turut berada di rumah namun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Ujarnya, kebakaran hanya membabitkan sebuah bilik dengan peratusan kebakaran sebanyak 30 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!