Lapan lelaki ditahan disyaki serang dua remaja

SUNGAI PETANI - Polis menahan lapan lelaki dipercayai menyerang dua remaja lelaki berhampiran Taman Kelisa Ria dekat sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kesemua berusia 18 hingga 21 tahun itu ditahan kira-kira 7 malam tadi.
"Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa yang berusia 18 dan 19 tahun dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki motosikal masing-masing.
"Punca diserang dipercayai akibat perselisihan faham antara mangsa yang berusia 19 tahun dengan seorang daripada suspek sewaktu siaran langsung melalui laman TikTok," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, suspek pada mulanya memberitahu mangsa ingin menyelesaikan perkara itu secara baik, bagaimanapun mangsa diserang suspek serta beberapa lelaki lain dengan menggunakan batang besi dan kayu.
Kedua-dua mangsa yang cedera pada anggota badan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, di sini manakala semua suspek direman lima hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
