Kemenangan debat bukan penentu kepimpinan terbaik - Saifuddin

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Proses memilih pemimpin terbaik bukan ditentukan semata-mata melalui kemenangan dalam sesuatu sesi debat.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam konteks tawaran debat yang dikemukakan oleh Datuk Seri Rafizi Ramli terhadap Nurul Izzah Anwar, beliau menyerahkan kepada kedua-dua calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk membuat keputusan sewajarnya.
“Debat ini adalah satu kaedah. Ia bergantung kepada calon sama ada mahu menyambut atau menolak. Nama pun tawaran, bukan paksaan.
“Saya tidak mahu meletakkan bahawa untuk memilih pemimpin yang baik itu adalah semata-mata berdasarkan kemenangan dalam debat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 Jabatan Imigresen Malaysia di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri di sini, pada Jumaat.
Rafizi sebelum ini, dalam satu program Jelajah Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa (HIRUK) di Mentakab, Pahang, menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Nurul Izzah bagi meredakan ketegangan dalam kalangan penyokong masing-masing menjelang pemilihan parti.
Bagaimanapun, Nurul Izzah ketika ditemui media selepas menghadiri program bertemu akar umbi di Selangor, menolak pelawaan tersebut dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada usaha menyantuni para perwakilan.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pentas debat wajar dijadikan landasan untuk mana-mana pemimpin berkongsi idea serta hala tuju, Saifuddin berkata, perkara itu bergantung kepada keutamaan setiap calon.
“Masa saya dengan Rafizi dulu, Sinar Harian yang aturkan debat. Sekarang saya tak masuk gelanggang pemilihan Timbalan Presiden parti. Saya fikir Izzah pun dah beri respons, dia nyatakan fokusnya adalah untuk menyatukan dan mendekati 29,000 perwakilan.
“Sefaham saya, beliau tidak meletakkan debat sebagai satu keutamaan atau keperluan,” jelas beliau.
Tambahnya, kedua-dua calon merupakan tokoh yang amat dikenali dalam PKR dan masing-masing adalah aset penting kepada parti.
“Kita hanya tinggal sembilan hari sebelum perwakilan mengundi. Perwakilan pasti sudah mengetahui kelebihan kedua-dua tokoh ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!