'Teruskan debat, bukan soal menang, kalah' - Akmal Nasrullah

Akmal Nasrullah ketika bercakap pada sidang media selepas menghadiri lawatan kerja di Loji Rawatan Air Tanjung Mas, pada Khamis. Foto Bernama
Akmal Nasrullah ketika bercakap pada sidang media selepas menghadiri lawatan kerja di Loji Rawatan Air Tanjung Mas, pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Debat terbuka bukanlah soal menang atau kalah, sebaliknya proses itu membolehkan semua pihak bersikap lebih jujur, terbuka dan berani mengetengahkan idea.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, justeru debat terbuka antara dua calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar perlu diteruskan.

Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan debat yang baik akan memberi nilai tambah kepada parti, selain membabitkan isu-isu yang dinantikan oleh rakyat untuk mengetahui hala tuju PKR.

“Debat sudah menjadi kelaziman dalam PKR, malah sejarah debat antara calon-calon dalam pemilihan parti ini telah berlangsung sejak 15 tahun lalu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Loji Rawatan Air (LRA) Tanjung Mas pada Khamis.

Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut menganggap debat sebagai satu keunikan dalam PKR kerana ia mencerminkan pendekatan progresif, terbuka dan berterus terang.

“Apabila bersemuka, ia tidak akan menimbulkan suasana panas tetapi sebaliknya membolehkan pertukaran pandangan yang akhirnya dapat menyatukan parti.

“Jangan kita cuba mandulkan, kendurkan atau lumpuhkan proses yang telah kita amalkan selama ini demi penyatuan, perpaduan dan ketelusan dalam parti,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Rafizi bersedia untuk berdebat dengan pencabarnya dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sempena pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada 23 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

Rafizi memaklumkan bahawa keputusan itu diambil bagi meredakan ‘suhu’ panas dalam kalangan penyokong kedua-dua tokoh muda PKR berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!