Frimpong hampir sertai Liverpool, perpindahan RM177 juta?

GERGASI Liga Perdana Inggeris, Liverpool dilaporkan bersedia mengaktifkan klausa pelepasan pemain Bayer Leverkusen, Jeremie Frimpong, sebagai langkah awal dalam memperkuatkan pasukan menghadapi musim 2025-2026.
Pemain antarabangsa Belanda berusia 24 tahun itu menjadi sasaran utama pengendali baharu The Reds, Arne Slot yang mahu memperkukuh bahagian kanan pasukan selepas kemungkinan kehilangan Trent Alexander-Arnold.
Menurut laporan media Eropah, Liverpool bersedia membayar klausa pelepasan Frimpong bernilai sekitar €35 juta (kira-kira RM177 juta) bagi mendapatkan pemain versatil tersebut yang mampu beraksi sebagai bek kanan mahupun sayap kanan.
Perbincangan mengenai perpindahan itu dilaporkan semakin rancak dan kelab Merseyside itu dijangka melengkapkan perpindahan dalam masa terdekat.
Alexander-Arnold, 26, sebelum ini dilaporkan berminat menyertai Real Madrid sebaik kontraknya tamat pada penghujung musim ini.
Frimpong, produk Akademi Manchester City, sebelum ini beraksi bersama Celtic sebelum menyertai Leverkusen pada 2021. Sepanjang musim ini, beliau membuat 53 penampilan dalam semua kejohanan untuk kelab dan negara, dan menjadi tonggak penting ketika Leverkusen merangkul kejuaraan Bundesliga 2024 kejuaraan liga sulung dalam sejarah kelab.
Menariknya, bekas kelab Frimpong, Celtic, dijangka menerima sebahagian yuran perpindahan hasil klausa jualan semula yang dipersetujui ketika beliau berhijrah ke Jerman. Nilainya dilaporkan boleh mencecah 30 peratus daripada jumlah perpindahan.
Kehadiran Frimpong bakal menjadi antara pembelian penting pertama era Arne Slot dan dijangka memainkan peranan besar dalam mencorakkan semula cabaran Liverpool dalam kancah domestik dan Eropah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!