Hanya kerana minta bayaran COD, 'rider' ditetak hingga parah

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala selepas ditetak menggunakan pisau. Foto Agensi
Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala selepas ditetak menggunakan pisau. Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Seorang penunggang penghantar makanan di Thailand cedera parah di bahagian muka selepas ditetak dengan pisau oleh suami pelanggan hanya kerana meminta bayaran bungkusan penghantaran sebanyak 225 baht (RM29) menerusi kaedah bayaran tunai semasa penghantaran (COD).

Menurut laporan Thairath, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan) pada Selasa di Daerah Amphawa, Wilayah Samut Songkhram.

Mangsa, Thanapat, 20, dilaporkan tiba di rumah pelanggan, Phimonnat, 27, namun tiada sesiapa di rumah ketika itu.

Beliau kemudian menghubungi wanita berkenaan dan diminta untuk meninggalkan bungkusan tersebut di depan rumah, dengan janji bahawa bayaran akan dibuat secara pemindahan bank.

Namun, menjelang jam 9 malam, bayaran masih belum diterima. Thanapat menghubungi semula wanita itu, namun perbualan bertukar tegang apabila Phimonnat enggan membuat bayaran dan mahu memulangkan semula bungkusan tersebut.

Thanapat menolak permintaan itu kerana bungkusan telah dibuka. Phimonnat akhirnya meminta beliau datang semula ke rumah untuk mengambil wang secara tunai.

Ketika Thanapat kembali ke rumah berkenaan pada waktu malam untuk mengambil wang tersebut, beliau disambut oleh suami Phimonnat, Surasit, 27, yang muncul sambil membawa sebilah pisau besar dan menjerit ke arahnya.

Tanpa sebarang amaran, Surasit bertindak menyerang Thanapat dan menetaknya lima kali, yang mengena dua kali di dahi, sekali di tangan kiri, dada dan telinga kiri.

Artikel Berkaitan:

Akibat serangan itu, Thanapat mengalami kecederaan serius dan memerlukan 24 jahitan.

Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Amphawa dan pihak berkuasa kini sedang menjalankan proses pendamaian antara kedua-dua pihak.

Jika gagal mencapai persetujuan, tindakan undang-undang akan diambil terhadap Surasit atas pertuduhan mencederakan Thanapat. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!