Lima rakan tak mengaku belasah dua lelaki guna besi di kelab malam

MELAKA - Lima rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, atas dua tuduhan membelasah dua pemuda pada minggu lalu.
Tertuduh, Lai Jing Ho, 26; Lim Koon Leng, 42; Yee Pao Wei, ; Bong Jia Jun, 22, dan Kevin Fong Tze Weng,39, membuat pengakuan itu sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama telah menyebabkan kecederaan terhadap Tan Wei Jie, 23, dengan menggunakan batang besi di sebuah kelab malam di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, kira-kira jam 2.15 pagi pada 7 Mei lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama iaitu penjara sehingga tiga tahun atau denda atau sebat dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Kesemua tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Randy Tan Kuan Chye, 23, di lokasi, waktu dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu mereka boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon jaminan sebanyak RM12,000 seorang bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadap mereka.
Hanis Aliah dalam hujahnya turut memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan ahli keluarganya sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam Nuradzlyn Sharmine Azrin Sham yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah dikenakan dengan alasan bagi mengelakkan jaminan itu sebagai salah satu bentuk hukuman terhadap mereka.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon oleh pihak pendakwaan.
Mahkamah juga menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!