Pembunuhan tragis ibu bapa 1989, adik-beradik Menendez berpeluang dapat parol

Lyle (kiri) dan Erik Menendez.
Lyle (kiri) dan Erik Menendez.
A
A
A

LOS ANGELES - Dua beradik yang terkenal kerana membunuh ibu bapa mereka pada tahun 1989, Lyle dan Erik Menendez, dijatuhkan hukuman semula oleh mahkamah sekali gus membuka peluang untuk mereka mendapatkan parol.

Seorang hakim di Los Angeles pada Selasa memutuskan, hukuman penjara mereka diubah kepada penjara 50 tahun hingga seumur hidup, berbanding hukuman asal penjara seumur hidup tanpa peluang parol.

Keputusan tersebut membolehkan dua beradik itu yang dipenjarakan lebih tiga dekad lalu atas pembunuhan kejam menggunakan senapang patah, mungkin boleh dibebaskan seawal bulan depan apabila lembaga parol bersidang.

Dalam perbicaraan penuh emosi, ahli keluarga merayu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Los Angeles, Michael Jesic agar memberi peluang kepada Lyle dan Erik dibebaskan dengan alasan mereka sudah berubah

Perbicaraan sensasi pada tahun 1990-an mendedahkan bagaimana pasangan adik-beradik itu menembak mati Jose dan Kitty Menendez di rumah mewah mereka di Beverly Hills.

Pendakwaan menyatakan pembunuhan itu bermotifkan tamak untuk mendapatkan harta pusaka keluarga.

Jose ditembak lima kali termasuk di bahagian lutut manakala Kitty ditembak ketika cuba melarikan diri, sebelum maut akibat tembakan beberapa kali dari jarak dekat.

Pada awalnya, dua beradik itu mendakwa ibu bapa mereka dibunuh oleh mafia, namun cerita berkenaan kerap berubah sepanjang siasatan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu penyokong mereka berhujah bahawa Lyle dan Erik bertindak selepas bertahun-tahun didera secara seksual dan emosi selain mendakwa kehidupan mereka dikawal secara melampau.

Erik turut membuat pengakuan di mahkamah, menyatakan tindakannya sebagai kejam dan pengecut.

"Saya lepaskan lima das tembakan ke arah ibu bapa saya dan pergi mengambil peluru tambahan. Saya menipu polis, saya menipu keluarga saya. Saya benar-benar kesal," katanya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!