Kebakaran Los Angeles, kesombongan manusia

LOS Angeles bandar terbesar di negeri California dan antara bandar paling terkenal di dunia, mempunyai banyak nama panggilan. Salah satu nama samaran yang paling popular ialah City of Angels. Nama panggilan ini bukan sekadar nama, tetapi mempunyai latar belakang sejarah, budaya dan simbolisme yang mendalam.
Nama Los Angeles berasal dari bahasa Sepanyol, yang bermaksud “Para Malaikat”. Pekan ini pada asalnya diasaskan pada tahun 1781 oleh peneroka Sepanyol dengan nama penuh El Pueblo de Nuestra Señora la Reina de los Ángeles de Porciúncula, yang bermaksud "Kota Bonda Kami, Ratu Malaikat Porciúncula."
Nama ini merujuk kepada Sungai Porciúncula, yang kini dikenali sebagai Sungai Los Angeles. Sebagai sebahagian daripada warisan penjajah Sepanyol, nama itu akhirnya dipendekkan kepada Los Angeles.
Nama panggilan "Kota Malaikat " juga mencerminkan akar agama bandar itu, yang berkait rapat dengan Katolik Sepanyol. Semasa zaman kolonial, Sepanyol memberi penekanan yang kuat pada Katolik, dan banyak bandar diasaskan dengan nama agama.
Los Angeles dinamakan sebagai penghormatan kepada Perawan Maria, dianggap sebagai "Ratu Malaikat" dalam tradisi Katolik. Oleh itu, nama ini bukan sahaja identiti geografi tetapi juga simbol keagamaan yang melekat pada penubuhan kota itu.
Sejak 11 Januari, kebakaran hutan terbesar di Los Angeles telah mengorbankan lebih 24 nyawa dan angka itu dijangka terus meningkat.
Setakat artikel ini ditulis, dianggarkan lebih 150,000 penduduk telah dipindahkan, manakala hampir 90,000 berada dalam zon amaran iaitu siap sedia untuk dipindahkan pada bila-bila masa.
Lebih 12,000 kediaman dan premis perniagaan musnah melibatkan kerugian melebihi AS$250 bilion.
Pelakon filem Braveheart, Mel Gibson, menjadi selebriti terbaru yang mendedahkan rumahnya di Malibu telah musnah, sambil menyifatkan kehilangan itu sebagai 'amat menyayat hati'.
Paris Hilton, Anthony Hopkins, dan Billy Crystal turut termasuk dalam senarai panjang selebriti yang kehilangan kediaman mereka.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyifatkan malapetaka yang sedang berlaku sebagai 'umpama pemandangan medan perang'.
Apakah ini balasan terhadap AS?
Ketika bencana besar ini berlaku, ramai yang melihat ia satu tamparan hebat kepada AS yang sebelum ini amat angkuh dan sombong dalam semua tindakan mereka terutama dalam kezaliman di Gaza.
AS yang menjadi ‘abang besar’ pelindung Israel telah menghalalkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza yang mencecah lebih 46,000 kematian, mencederakan lebih 100,000 penduduk Gaza terutama wanita dan kanak-kanak.
AS juga menjadi pembekal senjata utama kepada Israel dengan pakej melebihi AS$20 bilion pada tahun lalu.
Presiden AS yang dipilih, Donald Trump beberapa hari sebelum kebakaran di LA dengan bongkaknya mahu jadikan Timur Tengah sebagai ‘neraka’ jika Hamas tidak bebaskan tawanan Israel.
Begitu juga dengan aktor AS, James Wood yang sebak apabila kediamannya turut musnah dijilat api di LA, adalah penyokong kuat genosid ke atas Gaza dan meraikan kematian rakyat Palestin dengan hashtag #KillThemAll.
Setakat ini kawasan LA yang musnah adalah seluas 16,200 hektar, hampir sama luasnya dengan Semenanjung Gaza yang dimusnahkan oleh tentera zionis Israel dengan bantuan AS.
Perbezaannya adalah di Gaza hampir 48,000 bangunan musnah dibandingkan 12,000 di LA dan angka kematian di Gaza dan LA amat jauh berbeza.
Tetapi, untuk bangunkan semula LA perlukan jumlah lebih besar iaitu AS$150 bilion berbanding Gaza AS$40 bilion.
Bencana yang menimpa ini mengingatkan kita bagaimana bala ALLAH didatangkan kepada manusia antaranya melalui air yang telah menenggelamkan kaum Nabi Nuh, angin yang menyapu bersih kaum Nabi ‘Ad, tanah yang menelan kaum Sodom, panas yang menghukum kaum Madyan, petir yang menyambar kaum Tsamud, laut yang menenggelamkan Firaun dan burung ababil yang menghancurkan Raja Abrahah.
Sejarah kesombongan manusia
Keangkuhan manusia ini diceritakan dalam al-Quran seperti Namrud mengaku mempunyai kuasa seperti Tuhan, berdebat dengan Nabi Ibrahim AS. Al-Quran menyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 258 yang bermaksud: "Ingatlah ketika Ibrahim berkata kepadanya: 'Tuhanku ialah yang menghidupkan dan mematikan,' ia berkata, 'Aku juga dapat menghidupkan dan mematikan.' Ibrahim berkata, 'Sesungguhnya ALLAH membawa matahari dari timur; maka bawalah ia dari barat.' Maka terdiamlah orang kafir itu; dan ALLAH tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim."
Fir'aun mengaku sebagai tuhan seperti dicatat dalam Surah An-Nazi’at Ayat 24 yang bermaksud "Maka dia (Firaun) berkata: Akulah tuhan kamu, yang tertinggi". Akhirnya Firaun mati lemas dalam Laut Merah.
Qarun sombong dengan kekayaannya, mengabaikan nasihat Nabi Musa AS, sebagaimana dicatat dalam Surah Al-Qasas ayat 76 yang bermaksud: "Sesungguhnya Qarun adalah dari kaum Musa, tetapi ia berlaku sombong terhadap mereka. Dan Kami berikan kepadanya harta yang banyak, sehingga kunci-kuncinya saja harus dibawa oleh sekelompok orang yang kuat."
Kaum 'Ad dan Thamud, masing-masing terkenal dengan kekuatan dan kemajuan mereka tetapi mengingkari nabi dan sombong. Kisah mereka mengingatkan kita bahawa keangkuhan akan membawa kehancuran dan kebinasaan, sementara ketundukan kepada ALLAH membawa keselamatan dan kedamaian.
Ayat 266 dari Surah Al-Baqarah yang bermaksud: "Adakah seorang di antara kamu yang mengingini sebuah kebun dengan pokok kurma dan anggur, yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, memiliki segala jenis buah-buahan, dan dia sudah tua, mempunyai anak-anak yang masih kecil dan lemah, kemudian kebun itu dilanda oleh puting beliung yang membawa api sehingga terbakar. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, supaya kamu memikirkannya."
ALLAH berkuasa naikkan dan turunkan pemimpin
Ayat 26 Surah Ali ’Imran yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau memberikan kerajaan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau mencabut kerajaan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam Kekuasaan-Mu segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."
Pengajaran daripada ayat:Ayat ini mengingatkan kita bahawa segala kekuasaan dan kedaulatan di dunia ini berada di bawah kehendak ALLAH. Tiada yang dapat memiliki atau mempertahankannya melainkan dengan izin-Nya.
Kekuasaan, kedudukan, atau kehormatan tidak kekal dan hanya sementara. ALLAH berkuasa untuk memberi atau mencabutnya daripada sesiapa sahaja mengikut hikmah-Nya. Oleh itu, manusia tidak patut sombong dengan apa yang dimilikinya.
Segala bentuk kebaikan berada dalam kekuasaan ALLAH. Manusia mesti bergantung kepada-Nya dengan berdoa dan memohon pertolongan.
ALLAH memberikan kemuliaan dan boleh memberikan kehinaan kepada sesiapa sahaja berdasarkan hikmah dan keadilan-Nya. Oleh itu, manusia perlu sentiasa memperbaiki diri untuk mendapat keredaan-Nya.
Ayat ini mengajarkan kita untuk tidak bergantung kepada manusia atau duniawi semata-mata, tetapi kepada ALLAH yang Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Hanya ALLAH yang boleh memuliakan atau menghinakan seseorang. Maka, manusia tidak patut takut kepada ancaman manusia lain atau terlalu bergantung kepada makhluk dalam meraih sesuatu.
Ayat ini mengajak manusia untuk sentiasa rendah hati dan bersyukur kerana segala nikmat dan kedudukan yang diberikan adalah amanah daripada Allah yang perlu diuruskan dengan baik.
Kesimpulan ayat ini mengingatkan manusia bahawa segala urusan dunia, seperti kekuasaan, penghormatan, dan kehinaan, berada di bawah kekuasaan ALLAH semata-mata. Oleh itu, kita perlu sentiasa bertawakal, bersyukur atas nikmat-Nya, dan berusaha untuk hidup dalam ketaatan kepada-Nya.
Akhirnya, apakah kebakaran dan kemusnahan di LA ini adalah balasan ALLAH kepada mereka yang menzalimi rakyat Palestin, sama-sama kita memikirkan dengan hati yang tenang.
*Datuk Mohamad Din ialah seorang pendakwah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!