Kebakaran di Los Angeles, Pas zahir ucapan takziah buat mangsa

SHAH ALAM - Pas menzahirkan ucapan takziah buat mangsa dan seluruh ahli keluarga yang terjejas akibat kebakaran hutan di Los Angeles, California.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tragedi yang melanda bandar tersebut amat dahsyat dan sukar untuk digambarkan.
Justeru, menurut beliau, Presiden Amerika Syarikat dipilih, Donald Trump termasuk organisasi kemanusiaan dan masyarakat antarabangsa digesa menyalurkan bantuan kecemasan dengan kadar segera.
“Bantuan dari segi perubatan, tempat tinggal sementara dan rancangan pembinaan semula jangka panjang mesti dilaksanakan dengan cepat untuk membantu golongan terjejas memulakan kembali kehidupan mereka.
“Orang-orang Los Angeles memerlukan kepimpinan yang kuat, belas kasihan dan tindakan penguatkuasaan dalam menghadapi musibah ini.
“Pada masa sama, kami gesa supaya Trump hentikan sebarang niat untuk ubah Gaza menjadi ‘neraka’ di bumi. Daripada mencetuskan kemusnahan dan konflik, marilah kita sokong usaha kemanusiaan tanpa mengira warganegara atau agama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Media melaporkan, setakat ini sekurang-kurangnya 16 orang disahkan terbunuh akibat kebakaran yang melanda bandar itu hingga menyebabkan struktur bangunan serta kediaman hangus sekali gus mencetuskan kegelisahan jutaan penduduk California.
Difahamkan, pasukan bomba dan penyelamat sedang bertungkus-lumus untuk memadamkan kebakaran hutan besar-besaran di sekitar Los Angeles yang kini dilaporkan merebak ke beberapa kawasan baharu.
Pelakon, pemuzik dan beberapa selebriti popular lain antara yang tersenarai dalam puluhan ribu penduduk terjejas akibat kebakaran hutan tersebut.
Ahmad Fadhli memaklumkan, tragedi melanda Los Angeles diharap mampu memberi peringatan tentang maksud kebersamaan dan kemanusiaan.
“Kami tetap mendoakan dan berharap agar pemimpin utamakan tentang membina semula kehidupan rakyat, memupuk perpaduan serta memastikan keselamatan buat semua.
“Semoga rakyat Los Angeles memperoleh kekuatan dan diharapkan seluruh dunia bekerjasama untuk mencapai keamanan, bukannya kemusnahan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!