Enam kenderaan termasuk dua treler kemalangan

Keadaan kemalangan di kemalangan di Kilometer 32.5 Jalan Klang – Banting berhampiran sebuah bank di sini, pada Rabu.
Keadaan kemalangan di kemalangan di Kilometer 32.5 Jalan Klang – Banting berhampiran sebuah bank di sini, pada Rabu.
A
A
A

BANTING – Enam buah kenderaan termasuk dua treler terlibat dalam kemalangan di Kilometer 32.5 Jalan Klang – Banting berhampiran sebuah bank di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Mohd Radzi berkata, siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari, sebuah treler jenis Nissan dari arah Dengkil menghala ke Sungai Buaya dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan belakang sebuah lagi treler jenis Volvo.

"Perlanggaran itu menyebabkan treler Volvo bergerak ke hadapan lalu melanggar beberapa kenderaan lain yang sedang berhenti di lokasi kejadian," katanya dalam pada Khamis.

Mohd Akmalrizal berkata, antara kenderaan yang dilanggar termasuk sebuah Proton X90, Proton Persona, Proton Gen 2 dan Toyota Alphard.

"Difahamkan, kesemua kenderaan tersebut sedang berhenti untuk memberi laluan kepada pemandu Proton Gen 2 yang ingin memasuki ruang parkir di bahu jalan.

"Akibat kemalangan itu, semua kenderaan mengalami pelbagai kerosakan di bahagian hadapan dan belakang. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Mohd Akmalrizal berkata, pemandu treler jenis Nissan merupakan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang bekerja dengan sebuah syarikat pengangkutan swasta di Banting.

"Pemandu-pemandu lain terdiri daripada peniaga, juruteknik serta suri rumah.

Artikel Berkaitan:

"Pemandu treler Nissan memiliki lesen memandu yang sah dan keputusan ujian saringan air kencing mendapati dia negatif dadah," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara tidak cermat dan tidak bertimbang rasa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Kuala Langat, Inspektor Mazrol Mohd Din di talian 011-18539115 atau 03-31872222," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!