Hilang penat, pemandu terharu pelajar salam sebelum turun bas

Mohd Rosdi terharu tindakan pelajar sebuah kolej yang menyantuni dirinya ketika ingin turun dari bas.
Mohd Rosdi terharu tindakan pelajar sebuah kolej yang menyantuni dirinya ketika ingin turun dari bas.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu bas sebuah kolej di Johor tidak menyangka video memaparkan sekumpulan pelajar menunjukkan sikap hormat dan bersalaman dengannya selepas selesai program di luar kampus yang dikongsikan di media sosial meraih perhatian ramai.

Menurut Mohd Rosdi Dahlan, 40, tindakan sekumpulan pelajar lelaki yang bersalaman sambil mencium tangannya sebelum turun dari bas turut menyentuh hati.

"Pada awalnya, saya letak telefon dan terdetik untuk merakamkan video dalam bas.

"Secara kebetulannya, seorang pelajar tiba-tiba salam dan cium tangan diikuti beberapa pelajar lain, sekali gus momen itu terakam dalam video tersebut," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia berasa agak keletihan ketika itu, namun rasa penat terus hilang apabila beberapa pelajar menyantuni dirinya.

"Saya memang tidak jangka ada pelajar akan salam dan cium tangan saya, jadi saya amat terharu kerana rasa amat dihargai," ujarnya.

Tambahnya, detik-detik tersebut antara pengalaman paling berharga pernah dilalui sepanjang 14 tahun berkhidmat sebagai pemandu bas.

Menurutnya lagi, minatnya dalam bidang tersebut bermula sejak kecil dan menjadi pemandu bas adalah impiannya sejak dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Saya berdepan beberapa pengalaman suka duka sepanjang menjadi pemandu bas termasuk ada menghina kerjaya ini.

"Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dengan kata-kata tersebut dan terus bekerja untuk mencari rezeki halal untuk keluarganya," katanya.

Dalam masa sama, Mohd Rosdi turut tidak menyangka video rakaman momen pelajar bersalaman dengannya itu tular di media sosial.

Bagaimanapun dia bersyukur perkara kecil seperti itu membuktikan masih ramai generasi muda menghormati individu lebih berusia.

Video dimuat naik Mohd Rosdi di TikTok telah meraih lebih 2.6 juta tontonan dengan 120,000 tanda suka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!