Transformasi TVET pertanian usaha tarik golongan muda

Arthur (tengah) selepas sesi Townhall TVET Pertanian di MADA Rice Training Centre (MRTC), Alor Setar yang dihadiri lebih 250 pelatih dan alumni.
Arthur (tengah) selepas sesi Townhall TVET Pertanian di MADA Rice Training Centre (MRTC), Alor Setar yang dihadiri lebih 250 pelatih dan alumni.
A
A
A

ALOR SETAR – Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor pertanian semakin berkembang dengan penggunaan teknologi moden, sekali gus membuka peluang besar untuk menarik minat golongan muda terhadap industri ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata kerajaan berusaha mentransformasikan TVET pertanian dengan teknologi canggih seperti Internet of Things (IoT), kecerdasan buatan (AI) dan automasi ladang, bagi menjadikan sektor ini lebih relevan kepada generasi muda.

Menurutnya, penggunaan teknologi dalam sektor pertanian mampu meningkatkan produktiviti dan membuka peluang baharu kepada graduan TVET untuk menjadi usahawan serta pencipta inovasi pertanian moden.

“Kita mahu golongan muda melihat pertanian bukan sekadar bidang tradisional, tetapi sebagai industri masa depan yang penuh potensi, menerusi kemajuan teknologi dan inovasi,” katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas sesi Townhall TVET Pertanian di MADA Rice Training Centre (MRTC), di sini yang dihadiri lebih 250 pelatih dan alumni.

Jelas Arthur, antara teknologi yang telah diperkenalkan di pusat latihan TVET pertanian termasuklah IoT untuk pemantauan tanaman dan ternakan secara jarak jauh.

Menurutnya, turut diperkenalkan adalah AI bagi diagnosis kesihatan tanaman dan haiwan ternakan dan simulator pemanduan bot nelayan serta perisian Virtual Reality (VR) bagi aktiviti penangkapan ikan.

Dalam usaha memastikan laluan kerjaya jelas, KPKM bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan industri bagi memastikan graduan TVET mendapat akses kepada peluang pekerjaan atau mampu membina perniagaan sendiri.

“Kita mahu memastikan bukan sahaja peluang kerja tersedia, tetapi juga peluang menjadi pemimpin dan inovator dalam ekosistem pertanian,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan rekod KPKM, kadar kebolehpasaran graduan TVET pertanian meningkat kepada 78.1 peratus pada tahun 2024, berbanding 72.3 peratus pada tahun 2023.

Bidang poltri dan pengeluaran padi mencatatkan kadar kebolehpasaran tertinggi, masing-masing 95.7 peratus dan 95.5 peratus.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM131.7 juta telah diperuntukkan kepada KPKM bagi menaik taraf kemudahan latihan teknologi pertanian, termasuk asrama dan fasiliti di institut latihan TVET pertanian.

Selain itu, bagi tahun 2025, RM1.35 juta diperuntukkan untuk perolehan mesin tuai mini, traktor dan mesin penanaman dan RM2.5 juta diperuntukkan bagi menaik taraf rangkaian internet dan infrastruktur di institut latihan TVET pertanian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!