Tujuh anak ikut jejak bapa sertai bidang pendidikan

Ahmad Rizal menunjukkan gambar arwah bapanya, Md Isa yang merupakan guru ketika ketika ditemui Sinar Harian di pejabat PPD Kuantan pada Khamis.
Ahmad Rizal menunjukkan gambar arwah bapanya, Md Isa yang merupakan guru ketika ketika ditemui Sinar Harian di pejabat PPD Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN – Semangat dan pengorbanan seorang bapa yang bermula sebagai guru menjadi inspirasi kepada tujuh daripada sembilan beradik untuk mengikut jejak langkah dalam dunia pendidikan.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kuantan, Ahmad Rizal Md Isa, 55, berkata, legasi itu bukan sekadar profesion, malah ia satu warisan penuh nilai murni dan pengorbanan tanpa sebarang paksaan.

Menurutnya, arwah bapanya, Md Isa Ngah, adalah insan gigih yang membantu dan menguruskan permohonan anak-anak memasuki institusi perguruan dan sekali gus menjadi dorongan untuk mengikuti jejak langkahnya.

“Kami dibesarkan dalam suasana yang menghargai dan memahami betapa pentingnya bidang pendidikan.

"Arwah ayah tidak pernah memaksa, tapi kami sendiri terpanggil untuk ikut jejak ayah dan kini, kami adik-beradik berada di bawah satu bumbung dalam dunia yang sama,” katanya ketika ditemui di pejabat PPD Kuantan pada Khamis.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu memberitahu, abang sulungnya, Ahmad Zamri, berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, manakala adik-adiknya turut memegang jawatan penting dalam bidang pendidikan.

Antaranya, Ahmad Zahirudin sebagai Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Baging; Nor Azlin sebagai Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Cherok Paloh; Ahmad Imran sebagai Guru Besar SK Mercong Jaya; Munirah di SK Simpang Pelangai dan Ahmad Bakhtiar sebagai Penolong Kanan Pendidikan Khas di Pekan.

Ahmad Rizal juga tidak menyangka perjalanan hidupnya bukan sahaja seiring dengan dunia pendidikan, malah turut dipertemukan jodoh dengan Rozi Abdul Hadis, 49, yang juga bergelar pendidik.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, perubahan zaman menjadikan tugas mendidik semakin mencabar dan memerlukan guru lebih sabar serta memahami keperluan murid.

“Dulu kami belajar tanpa elektrik dan air paip, tapi semangat untuk berjaya tetap tinggi.

Murid hari ini pula umpama bola kaca, bukan seperti bola getah yang boleh melantun semula apabila terjatuh, kalau tersilap langkah, mereka mudah retak atau patah semangat.

"Guru perlu lebih sabar, memahami emosi mereka,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!