FDAM tuntut penjelasan

PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menuntut penjelasan terbuka dan profesional daripada penerbit filem Misteri Fraser 1910 susulan tindakan menggugurkan nama pengarah filem tersebut, Shuhaimi Zulkefli, daripada bahan promosi termasuk poster utama tayangan.
Pengerusi FDAM, Datuk Afdlin Shauki berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan mempertahankan hak Shuhaimi sebagai pengarah sah filem tersebut, selaras dengan prinsip dan etika kerja yang digariskan dalam industri perfileman negara.
“Shuhaimi yang juga ahli aktif FDAM, telah dilaporkan bertanggungjawab sejak dari awal pembangunan filem ini sebagai pengarah asal, termasuk dalam proses pra-produksi serta pengarahan semasa penggambaran di lokasi.
“Namun begitu, nama beliau tidak langsung dipaparkan dalam poster rasmi filem tersebut, tidak dibenarkan terlibat dalam pascaproduksi, malah tiada sebarang pengiktirafan terbuka terhadap sumbangan beliau sebagai pengarah utama,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Afdlin turut melahirkan kekecewaan apabila isu ini berlaku dalam konteks filem yang menerima sokongan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melalui Dana FAME (First Time Amateur Filmmaker), yang menurutnya sepatutnya mematuhi garis panduan ketelusan dalam memberi pengiktirafan dan hak sewajarnya kepada tenaga kerja kreatif yang terlibat.
Tambah beliau, pengguguran nama Shuhaimi dikatakan berpunca daripada satu kenyataan awam yang didakwa menimbulkan rasa tidak puas hati pihak penerbit, sehingga membawa kepada ugutan tindakan undang-undang serta tuntutan ganti rugi sebanyak RM1 juta.
“FDAM memandang serius perkara ini kerana ia mencerminkan hubungan yang tegang dan tidak sihat dalam kerjasama antara pengarah dan penerbit, yang seharusnya dibina atas dasar profesionalisme dan perjanjian kontraktual yang jelas.
“FDAM menggesa penerbit tampil memberikan penjelasan secara terbuka dan profesional berkaitan keputusan menggugurkan nama beliau daripada sebarang bahan promosi,” katanya.

FDAM turut memohon agar Finas campur tangan dan mempertimbangkan penyelesaian secara berhemah dan adil demi melindungi kepentingan semua penggiat industri serta memastikan kelestarian ekosistem kreatif negara.
“Tindakan mengenepikan sumbangan pengarah tanpa penjelasan munasabah bukan sahaja menjejaskan reputasi profesional individu, malah boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggiat seni yang bimbang hak mereka dinafikan dalam situasi serupa,” ujar Afdlin lagi.
FDAM menyeru semua pihak termasuk penerbit, pengarah dan badan berkaitan agar kembali kepada prinsip saling menghormati, ketelusan dan pengiktirafan demi memperkasa industri perfileman Malaysia.
Sementara itu, penerbit filem terbabit, Kapten Bers (PA) Amai Kamarudin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa saman fitnah telah difailkan pada 25 April lalu.
Beliau turut menyatakan bahawa Shuhaimi telah menandatangani satu Perjanjian Persetujuan untuk tidak terlibat dengan sebarang kerja penyuntingan filem berkenaan.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa penerbit filem Misteri Fraser 1910, Millionaire Films Production Sdn Bhd, melalui firma guaman Tetuan Ras & Co, menuntut permohonan maaf daripada Shuhaimi atas kenyataan fitnah yang didakwa dikeluarkannya.
Penerbit bersama, Amai Kamarudin dan Elani Aidid, memaklumkan bahawa kenyataan itu berkaitan dakwaan syarikat tersebut tidak membayar gaji kru sehingga menyebabkan filem terbabit disekat daripada tayangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!