Mahkamah tolak permohonan jaminan lima sekeluarga didakwa culik

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menolak permohonan jaminan lima sekeluarga yang didakwa menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun bulan lalu.
Hakim Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.
Beliau kemudian menetapkan tarikh sebutan kes untuk serahan dokumen 9 Jun depan.
Tertuduh, D Sasveena, 31; T Boharaj, 32; Farhin Muhamad Ariffin, 23; dan dua beradik P K Koshenn Kumar, 21, serta P K Siveeshinaa, 23 dengan niat bersama menculik seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dengan cara melarikannya bagi tujuan menuntut wang tebusan RM2 juta.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah salun rambut di Jalan S2 B10, Uptown Avenue Seremban 2 kira-kira jam 5.45 petang pada 10 April lalu.
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi berkata, jaminan tidak sepatutnya ditawarkan kerana kesalahan dilakukan kesemua tertuduh merupakan kesalahan yang tidak dibenarkan jaminan, melainkan atas budi bicara mahkamah.
Jelasnya, hukuman di bawah Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 iaitu penjara minimum 30 tahun jika sabit kesalahan menunjukkan keseriusan kesalahan terbabit.
Peguam Low Carmen yang mewakili kesemua tertuduh, merayu supaya mahkamah membenarkan jaminan, terutama kedua-dua tertuduh wanita kerana ia diperuntukkan di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.
Nurul Balkis kemudiannya berkata, tertuduh pertama wanita (Sasveena) adalah dalang kepada perbuatan jenayah yang didakwa dan tidak sepatutnya diberikan jaminan.
Low Carmen membalas dengan berkata, tiada bukti menunjukkan tertuduh adalah dalang utama dan untuk menyatakannya pihak pendakwaan perlu membuktikan keraguan munasabah.
Sebelum ini media melaporkan, penjenayah terbabit kes penculikan remaja berkenaan menyembunyikan mangsa dengan memasukkannya ke dalam beg pakaian.
Tindakan itu bertujuan mengelak dikesan pihak berkuasa dan orang awam ketika memindahkan mangsa daripada kenderaan milik suspek ke sebuah rumah di lokasi mangsa disorokkan.
Pada 14 April, polis menembak mati seorang lelaki di Bandar Bukit Tinggi, Klang, Selangor dipercayai terlibat dengan kes penculikan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

