Pei-Si Lai dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GXS Bank

BANK digital subsidiari GXS Bank di Malaysia, GXBank mengumumkan lantikan Pei-Si Lai, Ketua Pegawai Eksekutif GXBank kini, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GXS Bank berkuat kuasa 1 Jun 2025, berikutan persaraan Muthukrishnan Ramaswami (Ramu).
Sebelum ini Pei-Si memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif GXBank.
Pengerusi Lembaga Pengarahnya, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, bagi menggantikan Pei-Si di GXBank ialah Kaushik Chowdhury, iaitu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Komersial (Runcit) kini.
Menurutnya, Kaushik akan disokong oleh Hildah Hamzah yang akan mengambil alih jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan juga memegang peranan Ketua Pegawai Operasi, bersama-sama barisan pengurusan kanan GXBank.
“Pei-Si telah menerajui GXBank pada November 2023, seterusnya memperoleh lebih satu juta pelanggan dalam tempoh setahun.
“Di bawah kepimpinan Pei-Si, GXBank turut meraih beberapa pengiktirafan industri yang terkemuka, termasuk Bank Digital Terbaik Malaysia serta anugerah dalam bidang tadbir urus, risiko dan pematuhan selain inovasi Gen-AI.
"Kepimpinan berwawasan Pei-Si telah mendorong pencapaian yang mengangkat reputasi GXBank, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai bank digital terkemuka di Malaysia.
“Bersama-sama, barisan pengurusan telah mengharungi pelbagai cabaran dalam membina institusi baharu dan membawanya ke tahap hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, menurut Zaiton, perlantikan Kaushik dan Hildah juga mencerminkan kekuatan barisan kepimpinan GXBank.
Tambahnya, dengan pengalaman yang luas, lantikan baharu kedua-duanya mampu memupuk keterangkuman kewangan melalui perbankan runcit sekali gus mengubah landskap perbankan Malaysia terutama Perbankan Runcit dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Dengan pengalaman luas mereka dalam industri perbankan di GXBank, Kaushik dan Hildah bersedia memajukan GXBank untuk memperkasakan rakyat Malaysia supaya mencapai daya tahan kewangan serta memupuk keterangkuman kewangan melalui Perbankan Runcit dan PMKS, seterusnya mengubah landskap perbankan Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, Pei-Si turut mengulas lantikan baharu itu diharapkan dapat memperkukuh keterangkuman dan daya tahan kewangan rakyat Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan tulus kepada Bank Negara Malaysia dan Lembaga Pengarah GXBank atas sokongan serta kepercayaan yang diberikan.
"Saya juga ingin merakamkan penghargaan tulus kepada Bank Negara Malaysia dan Lembaga Pengarah GXBank atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan.
“Dalam peranan baharu saya, saya berharap dapat menerajui transformasi perbankan serantau menerusi visi Kumpulan GXS di Asia Tenggara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!