Suasana pilu iringi persemadian mendiang Koperal Nurit

KAMPAR – Cuaca redup mengiringi upacara persemadian anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dari Unit 5 Sungai Senam, Koperal Nurit Pandak, 34, yang terkorban dalam insiden kemalangan membabitkan sebuah trak FRU dengan lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam, Teluk Intan, pada Selasa.
Mendiang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai, di sini, kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.

Upacara persemadian mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dihadiri kira-kira 150 orang termasuk isteri mendiang, Jowissemborisxs Bah Johan, 36, bapa mendiang, Pandak Rompan, 71, ibu mendiang, Ngah Libah Tunkut, 68, serta sanak saudara terdekat.
Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kampar, Deputi Superintenden Mohd Aster Mohamad.
Mendiang Nurit, yang telah berkhidmat lebih 10 tahun sebagai anggota PDRM, dilaporkan maut bersama lapan lagi anggota FRU dari Unit 5 Ipoh dalam nahas ngeri pada jam 8.54 pagi.
Kenderaan yang membawa 18 anggota FRU itu ketika itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan sempena perayaan Chitra Pournami yang disambut masyarakat Hindu di Menara Condong Teluk Intan pada 12 Mei lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!