JKM cari bapa Nurain

NIBONG TEBAL - Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perai Selatan sedang mengesan bapa kandung seorang kanak-kanak perempuan diberi nama Nurain berusia sembilan tahun bagi membantu proses pendaftaran kelahiran kanak-kanak.
Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Selatan, Mohamad Rezal Abdul Majid berkata, kanak-kanak itu tinggal bersama penjaganya, Bahudin Othman dan Mazna Mohamed setelah individu mendakwa ibu kepada kanak-kanak tersebut bernama Farizan Mir Afjol meninggal dunia pada pada 31 Julai 2020.
Bagaimanapun menurutnya, maklumat bapa kandung tidak diketahui.
"Kanak-kanak ini diserahkan kepada penjaga tanpa sebarang dokumen setelah kematian ibunya.
"Berikutan itu, JKM sedang mengesan bapa kandung Nurain bagi membantu proses pendaftaran kelahiran kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Mohamad Rezal berkata, permohonan Pengecualian Seksyen 15(3) Akta Kanak-Kanak 2001 diluluskan untuk siaran media.
Waris atau orang ramai yang mengenali ibu bapa kandung kanak-kanak terbabit boleh menghubunginya atau Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seberang Perai Selatan, di talian 04-5822169.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

