JKM cari ibu Ainul Mardhiah

Bayi tersebut telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara dan diberikan nama Ainul Mardhiah.
Bayi tersebut telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara dan diberikan nama Ainul Mardhiah.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Seberang Perai Tengah mengesan ibu kandung kepada bayi perempuan berusia empat bulan 21 hari yang dilahirkan di sebuah hospital swasta di Butterworth pada 27 Oktober tahun lalu.

Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah, Mohamad Anizam Mohamad Azmi berkata, selepas dilahirkan, bayi terbabit dipindahkan ke Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang.

Menurutnya, bayi tersebut telah didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara dan diberikan nama Ainul Mardhiah.

"Bayi itu ditinggalkan ibu kandungnya yang juga warganegara Indonesia, dikenali sebagai Riska Hannum, tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.

"Cubaan menghubungi dan mengesan ibu kandungnya juga gagal. Bayi tersebut kini berada dalam jagaan sementara ibu bapa angkat yang tinggal di Bukit Mertajam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Mohamad Anizam berkata, permohonan Pengecualian Seksyen 15(3), Akta Kanak-Kanak 2001 telah diluluskan untuk siaran media.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berhubung ibu kandung bayi berkenaan boleh menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang di talian 04-538 2584 atau 017-5267974.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!