Ibu tunggal hidap strok tumpang kasih anak saudara

Fauziah (kanan) yang menghidap strok kini bergantung harap kepada anak saudaranya.
Fauziah (kanan) yang menghidap strok kini bergantung harap kepada anak saudaranya.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang ibu tunggal di Kampung Ladang Sahak, di sini terpaksa menumpang kasih anak saudaranya selepas diserang strok sejak enam bulan lalu.

Fauziah Jusoh, 48, yang sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan, operator kilang dan pembantu kedai makan, kini hilang punca pendapatan dan hanya bergantung harap kepada anak saudaranya, Mohd Nazri Abdullah, 31.

"Saya hilang tempat bergantung sejak bercerai dengan suami kira-kira lima tahun lalu dan kini menghidap strok serta pelbagai penyakit lain,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Menurutnya, Mohd Nazri yang bekerja dengan syarikat penyelenggaraan jalan hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan.

Selain menghidap strok, Fauziah turut menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis dan tekanan darah rendah serta memerlukan rawatan susulan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun dia terpaksa mengabaikan sesi fisioterapi memandangkan tiada pengangkutan untuk membawanya ke hospital.

"Saya pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tapi masih belum ada jawapan.

"Buat masa ini segala perbelanjaan masih ditanggung oleh anak saudara saya,” katanya.

Sementara itu, Fauziah berkata, dia berhasrat untuk kembali bekerja sekiranya kesihatannya pulih.

Artikel Berkaitan:

"Jiran saya, Salina Isa, 42, banyak membantu ketika Mohd Nazri keluar bekerja. Dia bukan sahaja membawa makanan tetapi turut memandikan saya jika perlu,” jelasnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Fauziah di talian 011-3919 5951.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!