JKM kesan waris 18 kanak-kanak diselamatkan daripada Rumah Pelangi

JKM sedang mengesan waris bagi kesemua 18 kanak-kanak yang diselamatkan daripada Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi Cheras, Selangor.
JKM sedang mengesan waris bagi kesemua 18 kanak-kanak yang diselamatkan daripada Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi Cheras, Selangor.
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) sedang mengesan waris bagi kesemua 18 kanak-kanak yang diselamatkan daripada Pusat Jagaan Persatuan Kebajikan Rumah Pelangi Cheras, Selangor.

Menerusi kenyataan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan kesemua kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa penderaan itu telah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) di Hospital Kajang dan telah dirujuk kepada pegawai psikologi serta kaunselor bagi tujuan penilaian awal tahap psikologi mereka.

"Suatu perintah interim di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 telah dimohon dalam Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) dan laporan sosial serta laporan pemeriksaan kesihatan kanak-kanak tersebut juga akan dibentangkan dalam MBKK," katanya pada Isnin.

Jelas KPWKM, sehingga kini, kesemua mangsa telah ditempatkan di sebuah rumah kebajikan kanak-kanak yang lain untuk sementara waktu.

"Oleh itu, waris kanak-kanak yang diselamatkan tersebut boleh berhubung terus dengan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Hulu Langat di talian 03-8739 5070 atau hadir ke PKMD Hulu Langat di Lot 2-58, Kompleks Hentian Kajang, Jalan Reko, 43000 Kajang, Selangor," ujar kementerian itu.

Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri warga emas yang juga pemilik serta penjaga sebuah rumah perlindungan kanak-kanak persendirian di Batu 9, Cheras ditahan kerana disyaki mendera penghuni premis itu.

Susulan itu, KPWKM mengarahkan penutupan serta-merta ke atas premis berkenaan selepas didapati berlaku pelanggaran serius terhadap kebajikan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!