Malaysia gesa pembaharuan segera operasi pengaman PBB

BERLIN (Jerman) – Malaysia menggesa pembaharuan yang berani dan berpandangan jauh dalam operasi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan keberkesanan dan keselamatan anggota yang lebih baik ketika menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata anggota pengaman pada masa kini berdepan cabaran yang semakin rumit selari dengan landskap geopolitik yang dinamik, sekali gus menekankan kepentingan evolusi berterusan dalam misi pengaman PBB.
Beliau berkata, dalam konteks itu, Malaysia percaya bahawa terdapat dua anjakan penting yang mampu memacu pembaharuan bermakna dalam operasi pengaman.
“Pertama, melengkapkan anggota pengaman dengan peralatan dan persenjataan berteknologi tinggi adalah amat penting. Integrasi strategik teknologi canggih dalam operasi pengaman berperanan sebagai penghalang berkesan terhadap pihak yang bermusuhan.
“Integrasi ini akan meningkatkan keupayaan pasukan untuk bertindak balas dengan pantas dan berkesan terhadap ancaman baharu dalam misi pengaman. Pasukan pengaman yang diperkasakan dengan teknologi bukan sahaja memperlihatkan kekuatan dan kewibawaan moral, tetapi juga memperkukuh keazaman kolektif untuk menegakkan keamanan dan keselamatan,” katanya.
Tumpuan Kepada Latihan dan Dasar
Mohamed Khaled berkata demikian semasa intervensinya dalam High-Level Session II - Peacekeeping Reform: More Effective and Safer Peacekeeping pada forum UN Peacekeeping Ministerial 2025 yang berlangsung di sini, Rabu.
Selain itu, beliau berkata, PBB perlu memberi penekanan terhadap pembangunan kapasiti, kerana sebagai negara penyumbang anggota tentera yang lama terlibat dalam misi pengaman, Malaysia amat menitikberatkan kepentingan latihan – khususnya dalam aspek kebolehoperasian bersama, perkongsian ilmu, serta peningkatan keselamatan dan keberkesanan keseluruhan pasukan.
“Apabila misi menjadi lebih kompleks, adalah penting untuk kita melabur dalam program latihan yang bukan sahaja membangunkan kecekapan operasi asas, tetapi juga mempersiapkan anggota bagi mengintegrasikan dan menggunakan teknologi canggih dengan berkesan.
“Pada masa sama, kita mesti memastikan kerangka institusi dan dasar berkembang seiring dengan perkembangan teknologi ini. Ini termasuk menyemak semula doktrin operasi, mengemas kini prosedur operasi standard serta menetapkan garis panduan yang jelas bagi penggunaan teknologi baharu secara beretika dan bertanggungjawab,” katanya.
Gabungan Teknologi, Latihan dan Dasar
Sehubungan itu, Mohamed Khaled menegaskan bahawa pembaharuan misi pengaman harus berteraskan gabungan antara teknologi, latihan dan dasar.
“Dengan melengkapkan anggota pengaman dengan peralatan moden, melabur dalam pembangunan kapasiti yang komprehensif serta memastikan kerangka institusi kita kekal tangkas dan responsif, kita dapat membina pasukan yang bukan sahaja bersedia dan berkesan dari segi operasi, tetapi juga dipandu oleh nilai yang kukuh serta rasa tanggungjawab yang mendalam,” katanya.
Forum dwitahunan itu menghimpunkan pemimpin dan pegawai tertinggi dari negara-negara penyumbang misi pengaman PBB, dengan Mohamed Khaled menggunakan platform tersebut untuk menyuarakan pandangan serta memperbaharui komitmen Malaysia terhadap usaha keselamatan sejagat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
