Misi anak Sik ke Everest, Sanusi sumbang RM30,000 tabung kebajikan bomba

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 untuk tabung membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban ketika menjalankan tugas dan masih dalam perkhidmatan.
Tabung inisiatif Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest: Mencari Hati Emas 2025 itu turut bertujuan mengumpul dana untuk kos transplantasi buah pinggang dan pendidikan al-Quran.
“Saya siapkan RM30,000 sebagai sokongan kepada tabung-tabung yang dimaksudkan oleh beliau. Jom pakat menyumbang untuk menjayakan misi anak Sik, Kedah menawan puncak Everest.
“Kita doakan saudara Munir berjaya dalam misi beliau di sana dan mengumpul dana kebajikan sebanyak mungkin. Terima kasih abam bomba, doa kami mengiringi setiap langkah di Everest.
“Segala penat lelah diberi ganjaran pahala melimpah ruah oleh ALLAH SWT. Saudara Munir membangkitkan semangat dan rasa bangga di hati kami semua,” katanya di Facebook pada Selasa.
Sanusi turut menyertai siaran langsung di akaun TikTok Mohd Fakhrul Munir yang kini berada di Kem Induk Everest (EBC) sejak berlepas dari tanah air pada 7 April lalu untuk menjayakan misi menawan puncak gunung tertinggi dunia.
“Selamat menempa kejayaan abam bomba, orang Sik terbaik,” tulisnya di ruangan komen.
Sementara itu, Mohd Fakhrul Munir yang merupakan anggota Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah menyatakan penghargaan kepada Sanusi atas sokongan tidak berbelah bahagi.
“Pendakian ini dilakukan bagi mengumpul dana untuk tiga tabung utama iaitu kebajikan anggota bomba, bantuan transplantasi buah pinggan dan peluang pendidikan al-Quran untuk golongan kurang berkemampuan.
“Terima kasih Yang Berhormat (Sanusi),” katanya.
Difahamkan anggota bomba berusia 43 tahun yang dalam proses menyesuaikan diri di altitut tinggi itu, akan memulakan pendakian ke puncak Everest pada 17 atau 18 Mei ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!