Kerajaan Perlis kekal pendirian tangguh bina kafe di Gua Cenderawasih

Kerajaan Perlis kekal dengan pendirian menangguhkan pembinaan kafe di Gua Cenderawasih bagi meneliti secara terperinci garis panduan ditetapkan oleh UNESCO berkaitan pemeliharaan geotapak.
Kerajaan Perlis kekal dengan pendirian menangguhkan pembinaan kafe di Gua Cenderawasih bagi meneliti secara terperinci garis panduan ditetapkan oleh UNESCO berkaitan pemeliharaan geotapak.
A
A
A

KANGAR - Kerajaan Perlis kekal dengan pendirian menangguhkan pembinaan kafe di Gua Cenderawasih bagi meneliti secara terperinci garis panduan ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan pemeliharaan geotapak.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pendekatan ini diambil bagi memastikan sebarang pembangunan yang dirancang di kawasan tersebut kekal mesra alam dan tidak menjejaskan nilai geologi serta struktur asal gua berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini belum ada keputusan baharu berhubung cadangan pembinaan kafe tersebut dan pendirian kerajaan negeri masih sama seperti diumumkan oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, sebelum ini.

“Kerajaan negeri komited untuk mendengar pandangan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis alam sekitar,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Asrul Aimran memaklumkan, sebelum ini kerajaan negeri menerima permohonan daripada syarikat tempatan untuk membina sebuah kafe bertemakan suasana dalam gua.

Namun, katanya, kerajaan negeri turut mengambil kira kebimbangan dibangkitkan oleh masyarakat, termasuk NGO dan aktivis alam sekitar.

“Kita beri jaminan bahawa struktur gua tidak akan disentuh atau diubah sama sekali, malah aspek pemeliharaannya akan terus diberi perhatian sewajarnya demi memastikan kelestarian geotapak berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, Gua Cenderawasih merupakan salah satu destinasi pelancongan yang semakin mendapat perhatian bukan sahaja daripada pelancong tempatan, malah dari luar negeri.

Artikel Berkaitan:

“Konsep kafe yang dicadangkan sebelum ini adalah berasaskan makan dan minum dalam suasana seperti berada di dalam gua. Ini akan memberi satu pengalaman baharu kepada pengunjung

“Pada masa sama, kita ambil maklum akan kebimbangan dibangkitkan pelbagai pihak, dan telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan untuk memberi penjelasan.

“Kawasan tersebut akan sentiasa dipelihara dan dijaga dengan baik, seiring dengan hasrat untuk mengekalkan nilai geotapak negeri Perlis untuk generasi akan datang,” jelas beliau.

Sementara, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth memaklumkan, sebarang tindakan lanjut hanya akan diputuskan selepas kerajaan negeri selesai mendapatkan pandangan dan maklumat terperinci daripada semua pihak berkaitan.

“Seperti dimaklumkan oleh Menteri Besar sebelum ini, pembinaan ditangguhkan sementara. Oleh itu, semua pihak diminta bersabar dan menunggu pengumuman rasmi daripada kerajaan negeri,” katanya.

Menurutnya lagi, MPK memberi kelulusan pengoperasian kafe di kawasan tersebut sebelum ini kerana ia sering menjadi lokasi vandalisme, pembuangan najis dan kegiatan tidak bermoral.

Pada 30 April lalu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memaklumkan, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan sementara pelaksanaan projek tersebut, bagi memberi ruang meneliti garis panduan dan peraturan ditetapkan oleh UNESCO berkaitan pemuliharaan geotapak.

Menurut beliau, sebarang keputusan untuk meneruskan atau membatalkan projek tersebut akan bergantung sepenuhnya kepada hasil penelitian terhadap panduan antarabangsa tersebut serta maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan.

“Kalau tiada halangan, kita akan teruskan. Tapi kalau ada halangan dan boleh diambil tindakan untuk hentikan, kita akan lakukan,” ujar beliau.

Sebelum ini, kawasan berkenaan telah dicat putih bagi menutup kesan vandalisme yang berlaku sebagai langkah sementara bagi memulihkan imej kawasan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan