Ketepi garis panduan bukti kerajaan tidak berprinsip pertahan syariat Islam - DUPP

SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) kesal terhadap keputusan kerajaan mengenepikan cadangan penyediaan garis panduan berhubung keterlibatan umat Islam dalam majlis perayaan atau program di rumah ibadat agama lain.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan tidak berprinsip dalam mempertahankan syariat Islam, terutama selepas menerima tekanan daripada pihak tertentu bukan beragama Islam.
"Persoalan utama adalah mengapa kerajaan tidak bertegas dalam isu ini?
"Adakah disebabkan desakan daripada rakan sekutu dalam kerajaan yang lantang menolak syariat Islam?,” soalnya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Sebelum ini, polemik mengenai garis panduan ini timbul susulan cadangan awal kerajaan untuk mengeluarkan panduan kepada umat Islam berhubung kehadiran mereka dalam majlis perayaan bukan Islam.
Garis panduan ini bertujuan memastikan umat Islam tidak terlibat dalam elemen ritual atau keagamaan yang boleh menjejaskan akidah.
Bagaimanapun, cadangan tersebut mendapat kritikan daripada pihak tertentu, terutamanya daripada kalangan pemimpin bukan Islam yang melihatnya sebagai satu bentuk diskriminasi dan berpotensi menjejaskan keharmonian kaum di negara ini.
Justeru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk kerajaan mewujudkan garis panduan baharu berhubung perkara berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad menegaskan garis panduan berkenaan adalah penting untuk memelihara akidah umat Islam selain memberikan panduan jelas kepada semua pihak yang ingin menganjurkan aktiviti melibatkan unsur keagamaan.
“Langkah ini sepatutnya difahami sebagai usaha menjaga keharmonian dan sensitiviti agama, bukan seperti dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan ia boleh membawa kepada perpecahan kaum,” jelasnya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut kesal terhadap keputusan penolakan garis panduan berkenaan oleh kelompok ahli politik tertentu, terutamanya DAP yang dianggap tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Apa sebenarnya yang mahu disampaikan oleh mereka? Adakah Islam dianggap sebagai punca perpecahan?
"Ini adalah tuduhan biadab dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.
Selain itu, Ahmad mewakili DUPP turut mempersoalkan pendirian rakan-rakan dalam gabungan kerajaan, terutama mereka yang masih memiliki jiwa dan kasih terhadap agama, susulan dilihat tidak tegas dalam mempertahankan isu kesucian Islam.
“Keadaan ini sangat mengecewakan. Satu demi satu isu berkaitan agama diabaikan, hanya demi menjaga kepentingan politik dan kedudukan mereka.
"DUPP juga ingin mengingatkan semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mempertahankan syariat Islam dan tidak tunduk kepada tekanan pihak tidak memahami sensitiviti agama, " katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

