Sasar bina 1,535 rumah PPRT

Rina sebelum memulakan mesyuarat bersama Exco Luar Bandar.
Rina sebelum memulakan mesyuarat bersama Exco Luar Bandar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pembangunan Luar Bandar mensasarkan penyediaan sebanyak 1,535 rumah bina baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pada tahun ini juga, kementeriannya mensasarkan sebanyak 7,354 unit rumah akan dibaikpulih di bawah program itu.

"Untuk tahun 2019, kita menerima peruntukan sebanyak RM200 juta. Jadi ada sedikit pengurangan kerana sebelum ini, peruntukan untuk rumah pelaksanaan PPRT ini sebanyak RM271 juta.

"Sebab itu (pengurangan peruntukan), kita membuat penambahbaikan dengan menggunakan teknologi yang baharu supaya dapat dikurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti dan saiz," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Pembangunan Luar Bandar Dengan Exco Luar Bandar di sini hari ini.

Rina berkata, kementeriannya juga berharap dengan menggunakan teknologi terbaharu itu, akan ada penambahan jumlah kediaman yang bakal dibina baharu di bawah PPRT.

Selain itu, katanya, pada tahun lalu, sebanyak 10,841 rumah PPRT telah dibina atau dibaikpulih sekali gus melebihi sasaran ditetapkan iaitu 10,550 unit.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 817 rumah adalah bina baharu manakala 10,024 pula adalah kediaman yang dibaikpulih," katanya.

Artikel Berkaitan: