Sabah kaya berbilion, tapi rakyat masih guna lilin dan jalan berlubang – MP Libaran

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir mempersoalkan ke mana perginya kekayaan negeri Sabah apabila isu infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan keadaan jalan raya terus membelenggu kehidupan rakyat.
Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata, walaupun kutipan hasil balak mencecah berbilion ringgit, pelbagai isu berkaitan infrastruktur masih belum diselesaikan.
“Kita dihidangkan dengan laporan yang menyebut Sabah mencatat kutipan hasil balak sebanyak RM5.3 bilion sejak tahun 1999, dengan purata RM213 juta setahun. Namun realitinya, kehidupan rakyat masih dihimpit masalah asas yang tidak kunjung selesai.
“Soalan paling mudah yang ditanya rakyat, dari Libaran hingga ke Likas, dari Tawau ke Tuaran – ke mana perginya semua kekayaan negeri Sabah?” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, isu bekalan air dan elektrik kini bukan lagi masalah eksklusif di kawasan pedalaman, malah turut berlaku di kawasan bandar, termasuk ibu negeri Sabah sendiri.
“Hari ini, bukan sahaja penduduk di pedalaman, malah di tengah-tengah Kota Kinabalu, gangguan bekalan air dan elektrik sudah menjadi kebiasaan.
“Tangki simpanan air bukan lagi kemudahan tambahan, tetapi satu keperluan wajib. Penjana elektrik bukan lagi untuk kilang, tetapi untuk rumah biasa,” katanya.
Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik turut membangkitkan isu jalan raya yang rosak dan tidak berturap di banyak kawasan luar bandar.
“Masih banyak jalan yang berlubang, rosak dan membahayakan pengguna. Dalam daerah Libaran sendiri, banyak kawasan luar bandar masih menanti sentuhan pembangunan asas – yang sepatutnya menjadi tanggungjawab utama kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri saban hari mengumumkan pelbagai kejayaan daripada pensijilan hutan, pelan karbon hingga kepada peruntukan ekologi, namun rakyat masih dihantui masalah air, menyalakan lilin dan mengelak lubang di jalan raya.
“Adakah ini wajah sebenar kemajuan yang dibanggakan? Saya percaya rakyat Sabah sudah cukup lama bersabar. Mereka bukan menolak pembangunan, tetapi hanya meminta hak mereka dikembalikan – hak untuk hidup selesa dengan kemudahan asas yang stabil dan berterusan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Suhaimi menegaskan bahawa suara rakyat tidak wajar dipandang sinis atau dianggap skeptikal.
“Mereka berhak bertanya, mereka berhak tahu. Maka, saya ulang persoalan yang lahir dari hati rakyat – kalau hasil negeri berbilion, kenapa masalah air, elektrik dan jalan raya masih belum selesai?
“Soalan ini bukan untuk menuding jari, tetapi untuk menuntut kebertanggungjawaban. Rakyat Sabah berhak menerima yang lebih baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!