Trump jadi 'pejuang antiaparteid'

WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin mengalu-alukan ketibaan 59 warga kulit putih dari Afrika Selatan yang diberikan status pelarian di negara itu.
Langkah itu bagaimanapun mengundang kritikan Demokrat dan mencetuskan kekeliruan di Johannesburg meskipun Trump memberi alasan kesemua mereka menjadi mangsa diskriminasi perkauman.
Sebelum ini, Trump beria-ia menghalang kemasukan pelarian bukan kulit putih, namun pendirian itu berubah pada Februari lalu apabila beliau membuat tawaran untuk penempatan semula warga Afrika yang sebahagian besarnya berketurunan Belanda.
Ketika disoal tentang keputusan Trump yang lebih mengutamakan kumpulan kulit putih itu berbanding mangsa kebuluran dan konflik di negara Afrika, pemimpin itu dengan yakin menyatakan tanpa bukti kononnya golongan tersebut menjadi mangsa genosid.
"Saya pilih mereka bukan kerana warna kulit kerana ia tiada makna apa-apa kepada saya," katanya lagi.
Johannesburg bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan menegaskan tiada pembunuhan beramai-ramai ke atas komuniti kulit putih berlaku di negara tersebut.
Sementara itu, Senator Jeanne Shaheen yang merupakan anggota paling kanan dalam Jawatankuasa Hubungan Luar Senat menyifatkan tindakan pentadbiran Trump sebagai 'membingungkan'.
"Ia jelas bermotifkan politik dan cubaan untuk menulis semula sejarah," ujarnya.
Sejak kembali semula ke Rumah Putih pada Januari lalu, Trump telah memotong kesemua bantuan kewangan kepada Johannesburg atas sebab dasar tanah dan kes genosid yang difailkan ke atas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa berkata, komuniti kulit putih menentang dasar pemilikan tanah yang sebenarnya bertujuan untuk menangani ketidaksamaan kaum yang berlaku sejak era aparteid atau pemerintahan kulit putih yang berakhir tiga dekad lalu.
"Kami berpendapat terdapat salah faham tentang isu ini, kami akan terus berunding dengan AS," jelasnya. - Agensi
Info:
>Sejak bekas Presiden Nelson Mandela memenangi pilihan raya demokrasi pertama di Afrika Selatan pada 1994, minoriti kulit putih yang pernah memerintah negara itu masih mengekalkan sebahagian besar kekayaan mereka yang terkumpul sejak zaman penjajah.
>Golongan kulit putih di Afrika Selatan masih memiliki tiga perempat tanah persendirian dan mempunyai kira-kira 20 kali ganda kekayaan majoriti kulit hitam.
>Kurang 10 peratus daripada golongan kulit putih menjadi penganggur berbanding lebih satu pertiga komuniti kulit hitam di Johannesburg.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

