Nahas FRU: Semua mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan

TELUK INTAN - Kesemua lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang disahkan maut dalam nahas membabitkan sebuah kenderaan pasukan itu dengan sebuah lori muatan batu di Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini pada pagi Selasa telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.
Difahamkan, mereka yang maut ialah Sarjan S Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.
Sementara itu, 10 lagi mangsa yang cedera dalam nahas tersebut turut dihantar ke hospital yang sama bagi mendapatkan rawatan lanjut, manakala pemandu lori muatan batu turut disahkan maut di tempat kejadian.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan sekurang-kurangnya lapan anggota FRU maut dalam kemalangan berkenaan.
Maklumat awal memaklumkan bahawa semua mangsa yang terkorban merupakan anggota FRU, dengan sebahagian daripadanya dilaporkan cedera parah akibat tersepit.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, panggilan kecemasan mengenai insiden itu diterima oleh Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan pada jam 8.54 pagi, membabitkan sebuah kenderaan FRU yang membawa 15 penumpang termasuk pemandu.
“Setakat ini, mangsa yang disahkan maut adalah seramai lapan orang. Semua mangsa yang berjaya dikeluarkan telah dihantar ke hospital.
“Kerja-kerja menyelamat masih sedang dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.
Difahamkan, kenderaan FRU terbabit dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai melaksanakan tugas di bawah Op Chariot di Teluk Intan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!