'Dicurah air panas, muka dilumur najis'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

AMPANG - Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dianggap pembawa nasib malang dipercayai didera ibunya yang berusia 39 tahun di Taman Pandan Mewah di sini sejak 10 tahun lalu.

Menurut sumber, mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik bukan sahaja dipukul ibunya, dicurah dengan air panas dan dipaksa minum air dalam kuantiti yang banyak.

"Remaja itu mendakwa turut diugut makan najis, selain mukanya pernah dilumur najis," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, perlakuan kejam ibunya yang merupakan seorang suri rumah terbongkar selepas laporan polis dibuat Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Mohd Firdaus Babh pada Rabu lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut dan memaklumkan remaja tersebut mengalami gangguan emosi dan enggan balik ke rumah.

“Mangsa telah dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat kesan melecur di bahagian perut, gigi patah dan kuku dipotong sehingga nampak isi.

"Suspek tiada tanda meroyan dan tidak berada bawah pengaruh alkohol," katanya.

Noor Azmi berkata, suspek telah direman lima hari sehingga 10 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel Berkaitan:

“Saya mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang mempunyai semangat dan tindakan berani serta pantas menghubungi pihak polis. Tindakan itu juga satu kejayaan dalam menangani kes penderaan,” katanya.