Imej liga perlu dibersihkan segera dari isu tunggakan gaji

Laporan Sukan Sinar pada Isnin. (Gambar kecil: Pekan)
Laporan Sukan Sinar pada Isnin. (Gambar kecil: Pekan)
A
A
A

BADAN bebas, First Instance Body (FIB), disaran agar bertindak lebih tegas membanteras isu tunggakan gaji yang masih membelenggu beberapa kelab Liga Malaysia (Liga-M), termasuk mengenakan larangan beraksi saingan Liga Super 2025-2026 kepada pasukan yang gagal menyelesaikan masalah tersebut.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, langkah tegas ini penting bagi memulihkan imej Liga Super yang sejak beberapa musim kebelakangan ini tercalar dengan isu tunggakan gaji yang tidak berkesudahan.

“Imej liga kita perlu dibersihkan segera. Jangan sampai masalah ini terus membarah hingga menarik perhatian Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), yang akhirnya boleh mengenakan tindakan drastik terhadap liga kita.

“Kadang-kadang keputusan keras itu dianggap kejam, tetapi adalah lebih baik merawat penyakit ini sebelum menjadi barah yang boleh membunuh keseluruhan ekosistem bola sepak negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, dua kelab dari Liga A1 Semi-Pro, Melaka FC dan Imigresen FC, antara yang disahkan menghantar permohonan bagi mendapatkan Lesen Kebangsaan 2025-2026.

Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, turut mengesahkan bahawa kesemua 13 kelab yang bersaing dalam Liga Super musim ini telah melengkapkan proses permohonan masing-masing.

Mengulas lanjut, Pekan yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM, menyatakan rasa terkejut apabila beberapa kelab ternama Liga-M yang sebelum ini dilaporkan bakal menarik diri akibat krisis kewangan, kini dilihat masih memohon lesen untuk musim baharu.

“Saya mula tertanya-tanya, ke mana hilangnya kelab-kelab besar yang sebelum ini diwar-warkan bakal menarik diri kerana masalah kewangan yang kronik? Nampaknya mereka masih berusaha mendapatkan lesen untuk terus beraksi musim depan.

Artikel Berkaitan:

“Adakah ini sekadar gimik atau propaganda semata-mata? Sudahkah mereka melunaskan segala hutang yang bertimbun terhadap pemain dan pegawai? Atau mungkinkah masih wujud kelonggaran dengan janji-janji manis seperti musim lalu, kononnya hutang akan dibayar apabila musim baharu bermula?

“Atau mereka sekadar mencuba nasib kalau lulus lesen, teruskan; kalau gagal, tenggelam begitu sahaja. Dapat lesen, mereka set up pasukan dan main lagi musim depan,” katanya.

Namun begitu, Pekan mengakui, sama seperti penyokong setia bola sepak negara, percaya pertambahan jumlah pasukan mampu merancakkan lagi saingan Liga Super musim depan.

“Kita juga faham dari segi komersial hak penyiaran televisyen, jumlah kehadiran penyokong di stadium, penjualan barangan rasmi, perniagaan kecil-kecilan, semua ini penting untuk kelestarian liga dan survival Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Bayangkan jika pasukan-pasukan utama ini gagal mendapatkan lesen, sudah tentu liga kita akan menjadi suram, kemeriahan akan pudar dan pelbagai kesan negatif akan timbul, termasuk aspek pembangunan bola sepak di negeri-negeri terbabit,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!