Elak tertipu tawaran harga murah bayaran dam, korban - TH

MAKKAH - Jemaah haji dinasihatkan agar tidak terjebak dengan janji-janji syarikat atau organisasi yang menawarkan harga murah untuk pelaksanaan dam atau korban bagi musim haji 1446H/2025M.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, jemaah digalakkan menggunakan aplikasi ThiJARI bagi membuat bayaran dam dan korban yang akan dilaksanakan secara rasmi oleh The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI).
“Saya ingin menasihatkan semua jemaah haji supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran harga murah oleh syarikat atau individu untuk pelaksanaan dam dan korban.
“Kita tidak pasti sama ada ibadat tersebut dilaksanakan dengan sempurna atau tidak, malah pernah berlaku kes penipuan sebelum ini,” katanya selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pengurusan Dam dan Korban bersama ADAHI di sini.

MoU itu turut ditandatangani oleh Penyelia ADAHI, Saad bin Abdul Rahman Al-Wabil.
Menurut beliau, ADAHI merupakan satu-satunya organisasi yang diiktiraf oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dan segala urusan penyembelihan dilakukan mengikut piawaian yang ditetapkan.
“Alhamdulillah, kita baru sahaja menandatangani perjanjian kerjasama dengan ADAHI yang bernaung di bawah Suruhanjaya Diraja bagi Bandar Makkah dan Tapak-Tapak Suci.
“Tahun ini, kita melaksanakan dam dan korban secara serentak bersama ADAHI. Ini berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini yang dibuat secara berasingan dan melalui proses tender,” ujarnya.
Tambah beliau, ADAHI dipilih kerana memiliki fasiliti lengkap termasuk lapan kompleks penyembelihan, pembekuan dan pemprosesan daging.
Katanya, daging korban akan diedarkan bukan sahaja di Makkah dan kawasan Tanah Suci, malah ke lebih 30 negara lain di seluruh dunia.
“Apa yang kita korbankan bukan sekadar ibadah, tetapi memberi manfaat besar kepada mereka yang memerlukan. Prosesnya telus, bersih dan teratur. Insya-ALLAH,” katanya.
Beliau menambah, kerjasama itu sekali gus mengukuhkan urus tadbir ibadat korban dan dam oleh jemaah Malaysia serta diyakini akan berjalan lancar melalui saluran sah dan bertauliah.
“Kita mahu jemaah rasa yakin dan tenang kerana segala urusan diserahkan kepada organisasi yang sah dan berpengalaman,” katanya.
Sebagai rekod, sebelum ini urusan dam dan korban jemaah haji Malaysia dilaksanakan melalui tender yang melibatkan Islamic Development Bank (IDB). Namun, tahun ini buat kali pertama ADAHI diberi kepercayaan penuh untuk melaksanakannya.
Dalam pada itu, sebelum ini Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan kadar bayaran dam dan korban bagi musim haji 1446H (tahun 2025) ditetapkan pada harga RM875 bagi setiap ekor kibas di Tanah Suci.
Bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam menerusi aplikasi ThiJARI dan kaunter pejabat TH, manakala penyertaan korban dibuka kepada semua pendeposit TH.
TH terus menyediakan perkhidmatan bayaran dam bagi bakal jemaah haji bermula 28 Mac lalu sehingga 3 Julai.
Pembayaran penyertaan korban di Tanah Suci pula boleh dibuat oleh semua pendeposit TH bermula 28 Mac hingga 31 Mei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!