Dua lelaki ditemui selamat, dua lagi masih hilang di hutan Lahad Datu

LAHAD DATU – Dua daripada empat lelaki yang dikhuatiri hilang selepas masuk ke hutan di Tamaco, Tungku dekat sini pada Khamis lepas ditemukan dalam keadaan selamat dan telah keluar dari kawasan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, empat individu yang masuk ke kawasan hutan itu untuk mencari hasil hutan telah berpecah kepada dua kumpulan.
“Satu kumpulan terdiri daripada dua orang, dan dua mangsa telah berjaya keluar dari kawasan hutan dengan selamat, manakala dua lagi masih belum dapat dikesan.
“Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain termasuk 33 anggota Angkatan Tentera Malaysia serta tiga orang awam sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan radius pencarian satu kilometer bermula dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” menurutnya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, operasi SAR dua lagi mangsa ditangguhkan pada pukul 4 petang ekoran hujan lebat dan akan disambung semula pagi esok.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau mengesahkan bahawa dua mangsa yang masih hilang merupakan anggota tentera berumur 37 dan 41 tahun.
Beliau berkata, mereka dipercayai sedang memukat ikan di Sungai Sri Darun sebelum mengikuti laluan cabang sungai kecil dan memasuki kawasan hutan untuk mencari akar kayu bagi tujuan perubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
