13 maut berebut peluru terpakai di Indonesia

JAKARTA – [DIKEMAS KINI] Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk empat anggota tentera maut dalam insiden letupan semasa pemusnahan peluru tamat tempoh di Wilayah Jawa Barat, Indonesia, menurut pihak berkuasa.
Letupan itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi waktu tempatan pada Isnin di kawasan terpencil di Daerah Garut, iaitu lokasi rutin pemusnahan peluru usang oleh Tentera Darat Indonesia.
Ketua Pusat Penerangan TNI Angkatan Darat, Brig Jen Kristomei Sianturi berkata, semua mangsa telah dibawa keluar dari lokasi kejadian di Kampung Sagara, Cibalong dan dihantar ke Hospital Pameungpeuk untuk proses bedah siasat.
Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian sedang dijalankan dan pihak berkuasa terus mengawal serta membersihkan kawasan itu kerana dikhuatiri masih terdapat bahan letupan lain yang belum dimusnahkan, lapor Bernama.
Dalam pada itu, menurut laporan Kompas, pada mulanya, proses pemusnahan bom di Kampung Sagara, Daerah Cibalong, Kabupaten Garut berjalan dengan baik, bagaimanapun apabila bom itu dimusnahkan, beberapa penduduk dilaporkan segera mendekati lokasi itu untuk mengambil kelongsong peluru bom.
Kelongsong bahan letupan tersebut sememangnya mempunyai nilai jualan yang tinggi kerana ia diperbuat daripada besi dan tembaga.
Bagaimanapun, ketika itu, mangsa tidak menyedari terdapat bom atau bahan letupan yang masih belum meletup sepenuhnya.
Ketika ini, sejumlah mangsa telah dikejarkan ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Pameungpeuk.
Menurut keluarga salah seorang mangsa, Dedi Duha, ketika ini adiknya berada di hospital wilayah.
Katanya, dia masih belum mengetahui secara pasti kronologi kejadian letupan terbabit, ketika ini sejumlah keluarga mangsa tertumpu di Hospital Wilayah Pameungpeuk.
"Ada 13 mangsa, kronologi belum tahu lagi, masih panik, tolong doakan Kang Rush (mangsa) yang telah meninggal dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
