MP cadang buka kasino sah untuk tambah hasil Indonesia

JAKARTA – Beberapa ahli Parlimen Indonesia mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembukaan kasino secara sah sebagai sumber baharu hasil negara bukan cukai, langkah yang dilihat meniru pendekatan negara seperti Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Cadangan itu dibangkitkan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa XI Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bersama Kementerian Kewangan Indonesia pada Khamis lalu. Antara yang mencadangkan perkara itu ialah wakil rakyat daripada Parti Golkar, Galih Kartasasmita.
“Saya minta maaf, bukan hendak menyokong perjudian tetapi UAE - sebuah negara Arab sudah pun mula membuka kasino. Mereka berfikir di luar kotak,” kata Galih ketika sesi libat urus bersama Jabatan Belanjawan di bawah Kementerian Kewangan.
Menurutnya, UAE dan Indonesia sama-sama bergantung kepada hasil sumber asli seperti minyak dan gas untuk menjana pendapatan negara namun negara Arab itu telah mula mengurangkan kebergantungan tersebut dan mengembangkan sektor perkhidmatan, khususnya pelancongan dan hiburan bagi menjana pendapatan negara.
“Mereka sudah beralih daripada sumber asli kepada perkhidmatan, terutamanya yang berkait rapat dengan pelancongan dan sektor sosial,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Thailand turut dijadikan rujukan utama selepas negara jiran itu mula meneliti cadangan untuk mewujudkan kasino sah melalui penubuhan resort gaya Singapura dan laman pertaruhan dalam talian.
Laporan Channel News Asia (CNA) menyebut, satu jawatankuasa khas yang dianggotai 60 orang telah ditubuhkan oleh Parlimen Thailand pada penghujung tahun lalu untuk mengkaji legalisasi perjudian dan kasino dalam kompleks hiburan.
Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri Kewangan Thailand, Julapun Amornvivat dan mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk daripada wakil kerajaan dan pembangkang.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk mengehadkan akses kepada rakyat tempatan dengan mengenakan bayaran masuk serta kawalan ketat ke atas individu yang dibenarkan memasuki kasino.
Sekiranya berjaya dilaksanakan, pengesahan industri kasino sah dijangka memberi kelebihan kepada Thailand dalam menarik pelancong serantau dan bersaing secara langsung dengan negara-negara lain di Asia.
Setakat ini, Indonesia dan Brunei masih menjadi satu-satunya negara di Asia Tenggara yang melarang sepenuhnya aktiviti perjudian termasuk kasino dan pertaruhan dalam talian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!