Rundingan ekonomi, perdagangan China-AS capai kemajuan penting

GENEVA – China dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan rundingan peringkat tinggi mengenai hal ehwal ekonomi dan perdagangan di Geneva, Switzerland dari 10 hingga 11 Mei.
Ketua wakil China bagi rundingan itu, yang juga Naib Perdana Menteri, He Lifeng, dalam sidang taklimat yang diadakan pada Ahad malam berkata, kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan secara terus terang dan menyeluruh, serta mencapai persetujuan penting, sekali gus mencatat kemajuan signifikan.
“China dan AS bersetuju untuk membina mekanisme perbincangan mengenai hal ehwal ekonomi dan perdagangan. Butiran lanjut akan diperincikan dengan secepat mungkin, manakala kenyataan bersama mengenai rundingan kali ini akan diumumkan pada Isnin,” kata Lifeng.
Beliau berkata, rundingan kali ini mendapat perhatian tinggi daripada masyarakat antarabangsa. Dengan usaha bersama kedua-dua pihak, rundingan tersebut mencapai kemajuan penting ke arah penyelesaian pertikaian melalui dialog secara sama rata.
“Ini meletakkan asas kukuh dan membina syarat baik untuk kedua-dua pihak merapatkan jurang percanggahan serta meningkatkan kerjasama bagi fasa seterusnya,” ujar Lifeng.
Lifeng menyatakan bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan antara China dengan AS bukan sahaja amat penting bagi kedua-dua negara, malah turut memberi kesan besar kepada kestabilan ekonomi dan pembangunan dunia.
Beliau menegaskan bahawa China bersedia bersama AS untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara pada 17 Januari lepas, mengadakan dialog yang ikhlas, berunding secara sama rata, mengawal percanggahan pendapat, meneroka potensi kerjasama, menambah senarai kerjasama, serta memperkasakan kerjasama bagi mendorong hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS mencapai kemajuan baharu, sekali gus menyuntik lebih banyak kestabilan dan kepastian kepada ekonomi dunia. - Bernama-CMG
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!