10 negara dengan parti politik terbanyak


MENURUT data rasmi badan pilihan raya pelbagai negara, jumlah parti politik berdaftar berbeza mengikut sistem pemerintahan setiap negara. Namun, tidak semua parti aktif atau mempunyai wakil di Parlimen.

1. India - (2,927 parti)
India merekodkan enam parti nasional, 67 parti negeri dan 2,854 parti berdaftar yang belum diiktiraf. Antara parti utama ialah Parti Bharatiya Janata (BJP) dan Indian National Congress (INC), selain parti wilayah yang berpengaruh dalam politik negeri. Jumlah tersebut telah berkurangan selepas proses penyahdaftaran.

2. Afrika Selatan - (537 parti)
Afrika Selatan mempunyai ratusan parti yang berdaftar pada peringkat nasional, wilayah dan tempatan. Antara parti utama ialah African National Congress (ANC), Democratic Alliance (DA) dan Economic Freedom Fighters (EFF). Suruhanjaya pilihan raya sebelum ini melaporkan 508 parti pada awal 2026, manakala portal rasminya kini memaparkan 537.
3. United Kingdom — (402 parti)
Persaingan politik negara itu banyak melibatkan Parti Buruh, Parti Konservatif dan Liberal Democrats. Parti wilayah seperti Scottish National Party (SNP) dan Plaid Cymru turut memainkan peranan penting, khususnya dalam memperjuangkan kepentingan Scotland dan Wales.

4. Pakistan — (171 parti)
Persaingan politik Pakistan tertumpu pada Pakistan Muslim League–Nawaz (PML-N), Pakistan Peoples Party (PPP) dan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI). Parti lebih kecil turut mempunyai pengaruh dalam politik wilayah, dengan sokongan yang sering dipengaruhi identiti etnik dan kepentingan tempatan.

5. Nepal — (136 parti)
Nepal mempunyai pelbagai parti, termasuk Nepali Congress (NC), Communist Party of Nepal (Unified Marxist–Leninist) atau CPN-UML dan Rastriya Swatantra Party (RSP). Daripada 136 parti berdaftar, hanya sebahagian bertanding dalam pilihan raya Parlimen pada Mac 2026.

6. Kenya — (107 parti )
Kenya menampilkan United Democratic Alliance (UDA) dan Orange Democratic Movement (ODM) sebagai antara parti politik utama. Kewujudan banyak parti membentuk landskap pilihan raya yang turut dipengaruhi kerjasama gabungan, sokongan wilayah dan persaingan kepimpinan.

7. Bangladesh — (60 parti)
Bangladesh Nationalist Party (BNP) dan Bangladesh Jamaat-e-Islami merupakan antara organisasi politik penting. Landskap politik negara itu mengalami perubahan besar selepas kejatuhan kerajaan Sheikh Hasina pada 2024, dengan persaingan baharu membentuk hala tuju politik negara.

8. Peru — (43 parti)
Antara parti yang dikenali ialah Fuerza Popular, Acción Popular, Alianza para el Progreso (APP) dan Avanza País. Sistem politik Peru mempunyai persaingan yang berpecah kepada banyak organisasi, menyebabkan rundingan dan kerjasama antara parti memainkan peranan penting.

9. Brazil — (30 parti)
Parti utama termasuk Partido dos Trabalhadores (PT) atau Parti Pekerja, Partido Liberal (PL) dan Movimento Democrático Brasileiro (MDB). Kepelbagaian parti menjadikan pembentukan gabungan politik penting bagi memperoleh sokongan dalam Kongres dan melaksanakan dasar kerajaan.

10. Nigeria — (22 parti)
Antara parti berpengaruh ialah All Progressives Congress (APC), Peoples Democratic Party (PDP) dan Labour Party (LP). Walaupun terdapat pelbagai parti berdaftar, persaingan politik nasional lebih tertumpu pada beberapa organisasi utama yang mempunyai pengaruh luas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

