Kompleks Sukan Bukit Merbau capai kemajuan positif

KOTA BHARU - Pembangunan Kompleks Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh menunjukkan kemajuan positif dengan beberapa komponen projek siap lebih awal daripada jadual asal.
Projek mega Madinah Ar-Riadhah bernilai RM293 juta itu kini dalam fasa pembinaan pesat dan dijangka siap sepenuhnya penghujung 2027.
Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad berkata, kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dan menunjukkan perkembangan yang menggalakkan.
“Setakat Januari lalu, kemajuan fizikal kerja-kerja tanah dan jalan masuk utama mencapai 74.11 peratus iaitu lebih awal lapan hari daripada jadual asal.
“Beberapa komponen utama seperti stadium utama, stadium hoki dan kompleks skuasy dijangka siap lebih awal daripada perancangan awal,” katanya kepada pemberita semasa sesi soal jawab bersama media sempena Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri bersama Media Kelantan 2025 di sebuah hotel di Tunjong di sini pada Rabu.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan stadium utama Bukit Merbau yang melibatkan kos RM178 juta, kini dalam fasa awal dengan pemasangan cerucuk dan dijangka siap mengikut jadual pada Mei 2026.
“Pembinaan tapak stadium utama dan olahraga ini siap pada 5 September tahun lalu dan kerja-kerja awalan bermula di sekeliling tapak binaan.
“Selain itu, tapak stadium hoki dan stadium tertutup sudah siap pada November tahun lalu, sementara tapak lapang sasar menembak dijangka siap menjelang Mac ini,” katanya.
Dalam pada itu, Zamakhshari berkata, kerajaan negeri komited memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan besar.
“Walaupun terdapat lanjutan masa bagi beberapa komponen seperti kerja infrastruktur yang kini dijangka siap pada Mac 2027, pihak kerajaan negeri dan pemaju sedang memastikan semuanya berjalan lancar.
“Infrastruktur seperti sistem retikulasi air dan tangki air juga sedang dibina dengan kadar kemajuan yang positif,” katanya.
Tambahnya, Madinah Ar-Riadhah Bukit Merbau akan menjadi pusat pembangunan sukan terbaik di Pantai Timur, sekali gus memberi manfaat kepada atlet tempatan dan rakyat Kelantan secara keseluruhan.
“Kompleks kompleks sukan utama negeri yang lengkap dengan fasiliti sukan bertaraf kebangsaan ini akan menjadi perkampungan sukan dan venue utama semasa penganjuran temasya Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan pada 2028 nanti.
“Kita yakin kompleks ini bukan sahaja akan menjadi pusat latihan dan kejohanan bertaraf kebangsaan, tetapi juga bakal merancakkan ekonomi tempatan dengan menarik pelaburan dan peluang pekerjaan baharu,” ujarnya.
Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan dalam memastikan projek ini berjaya dan memberi impak positif kepada pembangunan sukan di Kelantan.
Projek Kompleks Sukan Bukit Merbau merangkumi pembinaan pelbagai venue sukan seperti stadium utama, stadium hoki, arena tertutup, kompleks skuasy dan lawn bowl, padang bola sintetik serta padang ragbi.
Beberapa venue lain masih dalam peringkat perolehan dan perancangan.
Kelantan sebelum ini terkenal dengan kekurangan kemudahan sukan bertaraf tinggi dan pembinaan kompleks ini dilihat sebagai langkah besar dalam memajukan sukan negeri serta membangunkan lebih ramai atlet berkaliber di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!