Doktor palsu rawat 169 pesakit kanser

OSAKA - Seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor lulusan Universiti Kyoto didapati merawat 169 pesakit kanser tanpa memiliki lesen perubatan sah di sebuah klinik di Osaka, Jepun.
Lelaki terbabit, Shinichi Harada, 67, yang merupakan bekas eksekutif sebuah syarikat, dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Daerah Osaka pada Khamis.
Menurut laporan media tempatan, Harada menjalankan sebanyak 417 sesi konsultasi dan mengeluarkan preskripsi kepada pesakit di sebuah klinik kanser di daerah Kita, Osaka antara September 2024 hingga April 2025.
Pihak pendakwaan mendedahkan bahawa tertuduh menggunakan identiti palsu sebagai doktor selama kira-kira 30 tahun, walaupun tidak mempunyai kelayakan atau lesen untuk menjalankan amalan perubatan.

Lebih mengejutkan, Harada didakwa mula menyamar sebagai doktor antaranya untuk meningkatkan peluang menjalinkan hubungan romantik dengan wanita.
Selain menjalankan kegiatan perubatan tanpa lesen, dia turut berdepan pertuduhan memperdaya seorang kenalan membabitkan kira-kira 30 juta yen (RM773,115) menerusi skim pelaburan vaksin kanser yang tidak wujud.
Mahkamah menyifatkan tindakannya sebagai kesalahan serius kerana menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi perubatan.
Bagaimanapun, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berbanding enam tahun yang dipohon pihak pendakwaan.
Harada mengakui menjalankan kegiatan perubatan tanpa lesen, namun menafikan pertuduhan penipuan.
Dia mendakwa telah menjelaskan risiko pelaburan kepada individu terbabit dan tidak pernah berniat memperdayakan sesiapa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

