Jururawat denyut nadi kesihatan negara - Dr Dzulkefly

Dzulkefly Ahmad. Foto fail Bernama
Dzulkefly Ahmad. Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Jururawat bukan sekadar satu profesion, malah merupakan denyut nadi kepada sistem kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya amat menghargai pengorbanan para jururawat yang sentiasa sabar dan tabah dalam melaksanakan tugas harian mereka.

“Saya ingin mengambil sedikit ruang hari ini untuk menzahirkan penghargaan saya, dari hati nurani yang terdalam, kepada para jururawat di seluruh negara.

“Saya tahu, di sebalik senyuman yang kalian berikan kepada pesakit, ada penat lelah yang tersimpan rapi. Di sebalik seragam putih itu, ada insan yang kuat, sabar dan sentiasa menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan sebarang balasan,” katanya menerusi hantaran di Facebook sempena Hari Jururawat Sedunia pada Isnin.

Beliau turut menegaskan bahawa tanpa jururawat, tiadalah erti penjagaan dan pemulihan dalam sistem kesihatan.

“Tema tahun ini, ‘Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies’, bukan sekadar slogan. Ia adalah peringatan kepada kita semua bahawa menjaga kebajikan jururawat bermakna menjaga masa depan rakyat.

“Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan kasih yang kalian curahkan. Semoga kalian terus dilimpahi kekuatan dan rahmat. Selamat Hari Jururawat,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain”, dengan menyifatkan jururawat sebagai antara sebaik-baik manusia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!