[VIDEO] Sakit kulit antara kes tertinggi direkod, jemaah dinasihatkan jangan kerap mandi

A
A
A

MAKKAH – Sakit kulit menjadi antara lima penyakit tertinggi direkod dalam kalangan jemaah haji Malaysia yang mendapatkan rawatan di Tanah Suci setakat ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, faktor cuaca panas dan kering selain kekerapan mandi menjadi antara punca utama penyakit berkenaan.

“Ramai jemaah kita mengadu mengalami masalah kulit kering dan gatal. Ini berpunca daripada cuaca panas dan kering serta ada juga sebab terlalu kerap mandi.

“Kita nasihatkan supaya jemaah, terutama yang menghidap kencing manis, menggunakan pelembap kulit bagi mengelakkan luka akibat kerap menggaru,” katanya ketika sidang akhbar di Abraj Al Janadriyah di sini.

Menurutnya, jemaah juga disaran agar banyak minum air bagi memastikan tubuh kekal terhidrat dan tidak mandi secara berlebihan.

Faktor cuaca panas dan kering selain kekerapan mandi menjadi antara punca utama sakit kulit yang diadukan jemaah haji di Tanah Suci. Gambar kecil: Dr Hairul Izwan
Faktor cuaca panas dan kering selain kekerapan mandi menjadi antara punca utama sakit kulit yang diadukan jemaah haji di Tanah Suci. Gambar kecil: Dr Hairul Izwan

“Kita harap jemaah haji tidak mandi terlalu kerap kerana ia akan menyebabkan kulit kering,” katanya.

Mohd Hisham turut menasihatkan jemaah supaya melakukan sedikit senaman atau regangan ringan ketika berada dalam penerbangan Sembilan jam ke Tanah Suci bagi mengelakkan masalah pembekuan darah atau deep vein thrombosis (DVT).

Artikel Berkaitan:

“Perjalanan selama sembilan jam boleh menyebabkan pengaliran darah tidak lancar. Bila darah beku, ia boleh jejaskan organ dalaman.

“Jadi buatlah sedikit latihan mudah semasa dalam kapal terbang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Hairul Izwan Abdul Rahman berkata, sehingga Ahad, seramai 2,059 jemaah mendapatkan rawatan di pusat kesihatan di Tanah Suci dengan 54 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah lelaki.

Beliau berkata, penyakit paling tinggi direkodkan adalah berkaitan saluran pernafasan seperti batuk dan selsema, sakit otot, sakit tekak serta sakit perut namun semua jemaah yang mengadukan kesakitan berada dalam keadaan stabil.

“Kita nasihatkan agar jemaah memakai pelitup muka, terutamanya jika tidak sihat bagi mengelakkan jangkitan merebak kepada jemaah lain dalam bilik penginapan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!