Wabak HFMD melonjak 266 peratus, Selangor catat kes tertinggi

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) melonjak sebanyak 266 peratus apabila 99,601 kes dilaporkan di seluruh negara setakat Minggu Epidemiologi ke-17 tahun ini, berbanding hanya 27,236 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 10,421 kes (10%) dikenal pasti sebagai wabak, manakala 89,180 kes (90%) berlaku secara sporadik.
Menurut KKM, Selangor mencatat jumlah kes tertinggi dengan 27,118 kes (27.2%), diikuti Johor (9,864 kes), Perak (9,347 kes), Kelantan (7,147 kes) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (6,850 kes).
Sehingga kini, sebanyak 2,649 wabak HFMD direkodkan, meningkat 49 peratus berbanding 1,339 wabak bagi tempoh sama tahun 2023.
“Daripada jumlah itu, 578 wabak berlaku di taska (22%), 480 di tadika (18%), 292 di tabika (11%) dan 251 di pra-sekolah (9%),” menurut kenyataan rasmi KKM pada Isnin.
Bagaimanapun, KKM menegaskan tiada kematian akibat HFMD direkodkan setakat ini dan sebagai langkah pencegahan, KKM telah menjalankan pemeriksaan ke atas 38,285 premis, melibatkan taska, tadika, tabika, pra-sekolah serta rumah kediaman di seluruh negara.
Hasil pemeriksaan tersebut, 1,140 premis diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), sementara 430 premis ditutup secara sukarela. Di samping itu, 220 sesi taklimat kesedaran telah diadakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah.
Sehubungan itu, KKM menggesa ibu bapa dan penjaga agar mengamalkan kebersihan kendiri, termasuk mencuci tangan sebelum makan dan selepas ke tandas serta membersihkan peralatan permainan, bilik air dan permukaan yang kerap disentuh secara berkala.
“Perkongsian barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi harus dielakkan. Kanak-kanak yang menunjukkan gejala pula perlu dibawa mendapatkan rawatan segera dan tidak dibenarkan menghadiri pusat jagaan atau tempat awam,” menurut kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!