SWCorp kenal pasti individu tular buang sampah dalam sungai

JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor telah mengenal pasti individu yang membuang sampah ke dalam sungai di Taman Sri Plentong, di sini, baru-baru ini.
Menurut Pengarahnya, Zainal Fitri Ahmad, hasil siasatan mengesahkan bahawa lokasi pembuangan sampah tersebut terletak di persimpangan masuk ke Kampung Makmur, Plentong – Jalan Kemunting, Taman Sri Plentong.
“Pihak SWCorp telah menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular yang memaparkan tindakan tidak bertanggungjawab individu terbabit membuang sampah ke dalam sungai.
“Tindakan seperti ini bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah turut memberi kesan negatif kepada imej Johor yang sedang menuju ke arah Bandar Bersih Johor 2030,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, Zainal Fitri berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) bagi tujuan pendakwaan di mahkamah.
“Sekiranya sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda antara RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
“SWCorp memandang serius isu ini dan akan mengambil tindakan tegas serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya membuang sisa pepejal di lokasi yang tidak dibenarkan,” tegasnya.
Pada Rabu, media melaporkan perbuatan dua lelaki membuang sampah ke dalam dan di tepi sungai di Taman Sri Plentong, dipercayai berlaku kira-kira jam 6.30 petang, berjaya dirakam oleh pengguna jalan raya.
Rakaman kamera papan pemuka kereta berdurasi 2 minit 11 saat yang tular itu antara lain memaparkan seorang lelaki berbaju merah membuang sampah dipercayai kepingan kotak dari sebuah lori sarat muatan ke dalam sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
