Gara-gara WhatsApp, pelajar dipukul berulang kali dalam kelas

Tangkap layar video tular insiden pelajar dipukul di sebuah sekolah.
Tangkap layar video tular insiden pelajar dipukul di sebuah sekolah.
A
A
A

TANGKAK – Perselisihan faham dalam kumpulan aplikasi WhatsApp dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dipukul tiga pelajar lain di sebuah sekolah menengah di daerah ini, pada 13 November lalu.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 November kira-kira jam 12.09 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi pada 13 November di dalam sebuah kelas dan kawasan pondok sekolah.

"Mangsa mendakwa ditendang, ditumbuk dan disepak berulang kali oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan di beberapa bahagian badan.

"Akibat kejadian itu, mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar dan pemeriksaan mengesahkan mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kiri kepala, dada, perut serta lengan kiri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, hasil tindakan pantas polis, tiga pelajar lelaki berusia 15 tahun berjaya dikenal pasti dan diambil tindakan bagi membantu siasatan.

"Hasil temu bual awal mendapati ketiga-tiga pelajar terbabit mengakui penglibatan mereka dalam kejadian berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Roslan berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk perbuatan buli dan keganasan, khususnya membabitkan golongan pelajar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penggunaan kekerasan bagi menyelesaikan perselisihan faham adalah perbuatan tidak wajar kerana boleh menyebabkan kecederaan serta menjejaskan keselamatan mangsa.

Sehubungan itu, ibu bapa dan pihak sekolah diseru supaya sentiasa peka terhadap tingkah laku serta pergaulan anak-anak selain tidak memandang ringan sebarang aduan berkaitan perbuatan buli.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu, khususnya maklumat yang boleh mendedahkan identiti kanak-kanak terbabit.

Sebelum itu, tular video yang memaparkan kejadian dipercayai melibatkan perbuatan buli terhadap seorang pelajar di sebuah sekolah di Parit Bunga, di sini.

Video berdurasi 49 saat memaparkan seorang pelajar lelaki menumbuk bertubi-tubi dan menendang seorang pelajar lelaki dipercayai dalam sebuah kelas.

Selain itu satu lagi video berdurasi 12 saat pula memaparkan beberapa pelajar lelaki sedang duduk sambil menunjukkan isyarat lucah dalam kelas.

Video berkenaan menarik perhatian dan pelbagai reaksi netizen yang meluahkan kebimbangan terhadap isu buli dalam kalangan pelajar sekolah.

Turut tular surat dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini yang memaklumkan mangsa mengalami trauma akibat kejadian berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!