Warga emas gigih didik wanita dewasa celik al-Quran

TEMERLOH - Biarpun kian dimamah usia, ia tidak menghalang seorang warga emas, Fauziah Abdul Kadir, 70, daripada terus mencurahkan bakti mengajar al-Quran kepada golongan wanita di Masjid Temerloh Jaya, di sini.
Semangat wanita cekal itu tidak pernah luntur dalam memastikan lebih ramai wanita dewasa celik al-Quran dan mampu membaca dengan lancar.

Menurutnya, kelas pengajian al-Quran yang dikendalikannya telah bermula sejak tahun 2010 hingga kini.
"Janji mereka mahu belajar, tidak kira usia, tiada istilah terlambat untuk menuntut ilmu.
“Saya cuma mahu mereka boleh membaca al-Quran dengan yakin," katanya ketika ditemui selepas selesai sesi pengajian di masjid tersebut baru-baru ini.
Jelasnya, setakat ini seramai 25 wanita terdiri daripada suri rumah dan pesara pelbagai peringkat umur menyertai kelas tersebut yang diadakan dua kali seminggu, iaitu pada hari Selasa dan Rabu selepas solat Asar.
Fauziah berkata, kerana keazaman untuk melihat lebih ramai wanita celik al-Quran, beliau pernah menyumbang khidmat tanpa sebarang bayaran selama dua tahun sebelum para peserta mengambil inisiatif menyumbang wang sebagai tanda penghargaan terhadap usahanya.
“Saya nekad untuk menggunakan ilmu yang ada bagi mencari pahala, selain dapat mengimarahkan masjid serta memanfaatkan masa terluang,” jelasnya yang juga seorang suri rumah.
Tambahnya, cabaran utama ialah tahap pembacaan yang berbeza dalam kalangan peserta dan ada juga yang tidak mengenal huruf.
Namun katanya, semua itu boleh diatasi dengan kesabaran dan pendekatan yang mesra.
Sementara itu, Noriza Awang Sulong, 60, menyifatkan Fauziah sebagai seorang guru yang penyayang dan sangat berdedikasi.
“Saya menyertai kelas ini selepas bersara beberapa tahun lalu untuk memperbaiki dan memantapkan lagi bacaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

